utama

7 tahun derita HIV

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantut: Tujuh tahun lalu, dunia wanita yang mahu dikenali sebagai Maryani, 40, seolah-olah gelap apabila dimaklumkan doktor sah positif menghidap HIV ketika hamil anak bongsu.

Akibat kecewa, sedih dan hilang arah kerana menjadi mangsa suami penagih dadah, wanita itu mengambil keputusan berpisah sebaik melahirkan anak.

Keadaan lebih memilukan apabila Maryani menyerahkan bayi itu kepada kakaknya tanpa berpeluang menyusukannya kerana bimbang anaknya dijangkiti HIV selain berdepan masalah kewangan.

Menurutnya, dia bangkit demi mencari rezeki menyara empat anak, namun keadaan kesihatannya semakin merosot menyebabkan dia melupakan hasrat itu.

“Selepas bercerai, saya melakukan pelbagai pekerjaan tetapi tempohnya tidak lama kerana sering sakit sebelum berhenti kerja sejak 2016.

“Sepanjang tempoh itu, saya pernah terlantar tiga bulan di Hospital Jerantut.

“Setiap kali sakit, anak bergilir-gilir menjaga saya hingga mereka tidak ke sekolah manakala anak kedua yang sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini berhenti sekolah,” katanya.

Dia bersyukur kerana empat anak berusia 13 hingga 20 tahun tidak pernah mengabaikannya mahupun jijik menguruskannya meskipun mereka mengetahui penyakit dihidapi.

“Alhamdulillah, anak masih sayangkan saya hinggakan ada masa mereka tidak sanggup meninggalkan saya berseorangan di rumah kerana bimbang keadaan saya,” katanya.

Menurutnya, dia menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan serta sumbangan daripada masyarakat prihatin.

“Dengan wang itulah saya membayar sewa rumah, makanan, wang sekolah anak selain tambang teksi ke hospital jika sakit teruk. Kadang kala, jika tiada wang membeli makanan, anak menghubungi nenek mereka meminta makanan,” katanya.

Orang ramai yang mahu memberi sumbangan atau bantuan boleh menghubungi Maryani melalui talian 014-8329776.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 5:54am
d