utama

'Permusuhan tak masuk akal'

Oleh AFP

Milan: Bekas pengurus England Fabio Capello menyifatkan permusuhan dua pengurus Jose Mourinho dan Antonio Conte sebagai ‘tidak masuk akal’ kerana membiarkan pertelagahan mereka secara terbuka menjadi tidak terkawal.

Pengurus Chelsea, Conte dan pengurus Manchester United, Mourinho terbabit dalam perang mulut menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Old Trafford.

Namun Capello percaya kedua-dua mereka hilang kawalan dan rakan senegaranya dari Itali, Conte memandang rendah keupayaan Mourinho menangani media.

“Saya fikir Conte tidak sedar dengan siapa beliau berhadapan,” kata Capello.

“Jersi Chelsea membuat pengurus menjadi gementar. Masih ingatkah bagaimana kelakuan Mourinho ketika beliau menjadi pengurus Chelsea? Conte sebenarnya melakukan apa yang pernah dilakukan Mourinho.

“Kami masih ingat bagaimana Mourinho meluncur di padang, berlari kegilaan selepas pasukannya menang.”

Conte dan Mourinho bertelagah sejak jurulatih Portugal itu mendakwa pencabarnya sebagai ‘badut’ kerana terlalu menunjukkan perasaannya di tepi padang.

Conte membalasnya dengan berkata Mourinho ‘nyanyuk’ dan ‘orang kerdil’ kerana merujuk kepada penggantungan jurulatih itu di Itali kerana mengatur perlawanan yang kemudiannya dibebaskan pada 2016.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 4:21am
d