utama

Keenakan rasa tarap

Oleh Recqueal Raimi

Tuaran: Bagi penggemar buah tempatan, ramai yang lebih menggemari durian yang dikatakan raja segala buah.

Tidak hairanlah, ramai yang sanggup mengembara jauh untuk mendapatkan durian pelbagai jenis walaupun harganya mahal.

Bagaimanapun di Sabah, ada satu lagi buah tempatan yang popular dalam kalangan warga tempatan iaitu buah tarap.

Pokok buah ini tumbuh subur di kawasan beriklim tropika dan mudah didapati di Sabah.

Ia berbentuk bulat dan beratnya boleh sampai satu kilogram (kg).

Kebiasaannya buah yang masih muda mempunyai kulit berwarna hijau pekat, manakala buah yang sudah masak pula mempunyai kulit berwarna hijau kekuningan.

Buah tarap yang sudah masak sangat mudah dikopek untuk diambil isinya.

Sekali pandang, bentuk luaran buah ini seperti cempedak dan nangka, tetapi bentuknya lebih bulat.

Isi buah ini pula berwarna putih susu manakala isi cempedak atau nangka berwarna kuning.

Menariknya, mereka yang mahu makan buah ini hanya perlu menggunakan tangan untuk membelah kulit dan mendapatkan isinya.

Jika dahulu, buah tarap mudah didapati dan kebiasaannya dijual oleh penduduk kampung pada harga yang murah.

Bagaimanapun, siapa sangka buah tarap kini setanding buah tempatan lain sehingga ada yang dijual melebihi RM20 sebiji.

Peniaga buah tempatan di Kampung Rangalau, Kiulu, dekat sini, Jalinah Jukin, 52, berkata, buah tarap banyak didapati bermula Disember lalu sehingga akhir bulan depan.

Menurutnya, ia menyebabkan gerai menjual buah itu mudah didapati sepanjang Jalan Kiulu-Tamparuli.

“Orang ramai memberhentikan kenderaan masing-masing untuk membeli buah tarap ini untuk hidangan keluarga.

“Saya menjualnya pada harga bermula RM5 sehingga RM8 mengikut saiz dan harganya bergantung sama ada buah itu masih mentah atau sudah masak,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, musim buah tarap adalah setahun sekali dan kali ini musimnya dijangka berakhir Februari.

“Selain rasa manis apabila masak, buah tarap yang mentah juga boleh dipotong kecil-kecil untuk dimasak sebagai sup sayur yang dicampur ikan masin atau daging lain.

“Selain itu, buah tarap yang masak boleh dicampur dengan adunan tepung untuk dijadikan kuih,” katanya.

Jalinah berkata, musim tarap lazimnya disusuli durian dan rambutan di kawasannya, sekali gus menarik kunjungan ramai pelancong ke daerah berkenaan.

Sementara itu, pelancong dari Belanda, Edora Michael, 29, berkata, dia tertarik dengan keunikan buah itu.

“Saya terlihat gerai yang menjual buah ini ketika dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas melawat Kiulu.

“Ia jarang ditemui di negara kami dan rasanya enak dan lembut.

“Saya terus membeli 10 biji buah tarap untuk dimakan sepanjang perjalanan ke Kota Kinabalu,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 5:59am
d