utama

Percaturan Bella berhasil

Oleh Ardini Sophia Sina

Walaupun memulakan langkah dalam bidang muzik, pintu rezeki Bella Nazari lebih terserlah di pentas lakonan.

Meneruskan kembara seni atas nama pelakon, Bella tidak pernah melupakan hasrat untuk memiliki lagu sendiri.

Impian itu akhirnya tercapai apabila Bella muncul dengan single Infiniti. Namun, lagu itu belum berjaya meletakkan namanya pada posisi yang diharapkan.

Tanpa mengenal erti putus asa, Bella terus merangka kerjaya seninya.

Sehubungan itu, dia tampil dengan lagu kedua berjudul Oh Cinta yang dijadikan runut bunyi untuk drama Duda Pujaan Dara, tahun lalu.

Percaturan itu berjaya membuahkan hasil. Walaupun perlahan, semakin ramai yang menyedari bakat Bella tidak hanya sebagai pelakon tetapi juga dalam bidang nyanyian.

Sebaik saja Oh Cinta dilancarkan, pemilik nama sebenar Mas Nabiella Nazari ini sibuk dengan persembahan yang dijadualkan syarikat rakaman bagi mempromosikan lagu berkenaan.

Katanya, sepanjang tahun lalu, dia tidak ada perancangan untuk memperlahankan rentak dalam dunia lakonan namun dia tidak mempunyai pilihan kerana terdapat perlanggaran jadual.

“Saya tidak pernah bercadang untuk berehat daripada lakonan semata-mata ingin memberikan laluan kepada bidang nyanyian.

“Ia terjadi secara tidak sengaja. Memang ada tawaran yang saya dapat tetapi berlanggar dengan tarikh untuk mempromosikan lagu.

“Disebabkan pertindihan tarikh itulah saya terpaksa menolak tawaran berlakon tambahan pula jadual untuk promosi lagu itu sudah diberikan lebih awal. Maka, saya harus utamakan promosi lagu,” katanya.

Apabila terlalu kerap menolak tawaran lakonan, Bella akui, timbul perasaan bimbang situasi itu menyebabkan pengarah dan syarikat produksi enggan memberikan peluang kepadanya.

Bagaimanapun, percaya pada rezeki, Bella berharap supaya tahun 2018 ini dapat mengembalikan momentumnya dalam bidang lakonan.

Katanya, dia ingin terus memperbaiki corak lakonan dan nyanyiannya.

“Tidak hanya menunggu, saya juga mencari peluang itu sendiri. Saya berharap supaya dapat kembali berlakon tahun ini. Saya mahu melihat lakonan dan nyanyian berjalan seiring,” katanya.

Mahu berniaga

Menjadikan bidang lakonan dan nyanyian sebagai sumber pendapatan utama, anak kedua daripada tiga beradik ini serius memikirkan perjalanan masa depannya.

Dia memasang niat untuk menceburi bidang perniagaan serta berjinak-jinak dalam penulisan lagu.

Enggan tergesa-gesa menjalankan perniagaan, Bella terlebih dulu meneliti keadaan semasa sebelum muncul dengan produk tertentu.

Tidak banyak yang dapat dikongsikan kerana perkara itu masih dalam perancangannya.

“Saya bercadang untuk memulakan perniagaan tetapi masih dalam tempoh pemerhatian. Saya belum putuskan apa produk yang akan saya jual. Tambahan pula ia adalah cabang baru dan saya harus mempersiapkan diri.

“Untuk projek menulis lagu pula, saya masih baru dan dalam proses belajar. Tetapi mungkin saya tidak akan keluar dengan lagu sendiri dalam masa terdekat. Masih banyak yang perlu saya perbetulkan,” katanya.

Bukan sebab Andi

Ditanya mengenai pertunangan yang terputus di tengah jalan, Bella enggan mengenang kembali episod duka berkenaan. Dia fokus untuk terus membina kerjaya seninya.

“Buat masa ini saya ingin memberikan tumpuan kepada kerjaya terutama sekali kepada promosi lagu Oh Cinta.

Tetapi kalau ada berita baik, saya pasti kongsikan dengan semua.

“Bagi saya, benda baik tidak perlu dirahsiakan. Bagaimanapun, ia terpulang pada setiap individu. Ada yang menganggap itu privasi yang hanya perlu diketahui oleh mereka,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi baru Andi Bernadee dikatakan menjadi punca Bella putus tunang.

Perkara itu timbul apabila mereka sering dilihat muncul mengadakan persembahan bersama.

Menafikan dakwaan itu, Bella menegaskan mereka sekadar rakan baik dan sama-sama mempromosikan lagu masing-masing. Dia hanya mengenali lelaki itu beberapa bulan selepas dia putus tunang.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 5:49am
d