utama

99 pikul amanah usung jenazah Azlan [METROTV]

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

MAYAT ahli perniagaan yang meninggal dunia selepas terjatuh ke gaung ketika mendaki di Gunung Nuang, Hulu Langat, kelmarin, dikeluarkan pada 6.05 pagi ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata usaha membawa keluar Allahyarham Alan Yahya, 47, bermula sejak 1.30 petang, Sabtu.

Menurutnya, usaha membawa keluar mangsa memerlukan hampir 41 jam berikutan keadaaan geografi Gunung Nuang yang curam, licin dan berbahaya.

Katanya, pihaknya membentuk empat pasukan penyelamat terdiri anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kumpulan malim gunung serta kumpulan pencari dan penyelamat gunung (MOSARS).

Menurutnya, kekuatan anggota mencari dan penyelamat keseluruhannya 99 orang dan bertujuan membawa mayat mangsa secara bergilir-gilir.

“Keadaan Gunung Nuang bukan saja menyebabkan pasukan penyelamat cepat letih, sebaliknya penuh bahaya.

“Oleh itu, operasi membawa keluar mayat mangsa perlu dilakukan berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di pusat kawalan bomba yang dibuka di Pusat Rekreasi Gunung Nuang.

Alimaddia berkata, kumpulan pertama membawa mayat mangsa keluar dari lokasi terjatuh ke Kem Pengasih menggunakan pengusung pada 11.27 pagi semalam.

Katanya, operasi kemudian disambung pasukan kedua yang mengusung mayat ke Kem Pacat.

“Sebaik tiba di Kem Pacat, kumpulan ketiga kemudian menyambung operasi membawa mayat mangsa menggunakan pengusung ke Kem Lolo pada 7.13 malam,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian di serahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Serdang menggunakan kenderaan APM.

Berita berkaitan

'Ayah pesan jaga adik, ibu...'

Semoga dipermudahkan...

Masih menanti mangsa jatuh gaung

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 9:59am
d