utama

Kenek-ayam pengubat rindu

Oleh Nazdy Harun

Kuala Berang: Walaupun hanya seekor ayam hutan tetapi bagi seorang seorang warga emas menjadikannya seperti cucunya sendiri hingga tidak merasakan haiwan itu seekor ayam peliharaan.

Abd Rahman Abdullah, 83, dari Kampung Kuala Menjing di sini, berkata, ayam berkenaan ditemui anaknya kira-kira tiga tahun lalu di jalan raya dalam keadaan kakinya yang cedera dipercayai dilanggar kenderaan sebelum sebelum dibawa pulang dan dirawat.

Menurutnya, tidak sampai hati melihat keadaan ayam itu menyebabkan anaknya merawatnya hingga sembuh sepenuhnya.

“Saya tidak sangka selepas beberapa hari dalam jagaannya menyebabkannya semakin jinak hinggalah ke hari ini dan ayam yang diberi nama Kenek ini tidak berganjak walaupun diletakkan atas paha atau tangan dalam tempoh lama.

“Ayam ini juga tidak akan membuang najis di sebarangan tempat kerana hingga kini ia belum pernah membuang najisnya atas pakaian atau di dalam rumah,” katanya yang mempunyai lebih 50 ekor ayam peliharaan.

Katanya, walaupun mempunyai banyak ayam peliharaan lain tetapi kasih sayangnya lebih kepada ayam hutan berkenaan kerana ia sangat berbeza sifatnya dan dia sering menyediakan biji jagung kepada ayam istimewanya itu.

“Walaupun sifatnya berbeza dengan ayam lain tetapi Kenek tetap seekor ayam dan tentunya ia suka berjalan keluar daripada kawasan rumah.

“Apabila saya menjerit memanggil namanya, ia akan pulang tetapi pernah juga Kenek tidak menemui jalan pulang ke rumah dan nasib baik saya berjaya menemuinya kembali.

“Kenek juga seolah-olah memahami segala yang saya cakap kalau disuruh berkokok ayam itu akan lakukannya dan kehadiran ayam istimewa itu menjadi peneman seharian berikutan anak, cucu dan cicit duduk berasingan,” katanya.

Menurutnya, tabiat atau perangai ayam hutan yang begitu jinak mendorongnya mencurahkan kasih sayang seadanya kerana bukan mudah ayam hutan seperti itu jinak seperti seekor kucing yang mampu mengikut cakap tuannya.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 4:47am
d