utama

Tamparan buat Dembele

Oleh AFP

Barcelona: Pemain Barcelona, Ousmane Dembele terpaksa diketepikan selama ‘tiga ke empat minggu’ yang memberi tamparan baharu kepada penyerang Perancis itu, umum kelabnya, semalam.

Dembele dipalit kecederaan selepas dia dikeluarkan pada babak kedua ketika Barcelona mencatat kemenangan 4-2 ke atas Real Sociedad dalam aksi La Liga di laman lawan, kelmarin.

Bagaimanapun, kecederaan itu berbeza daripada kesakitan hamstring yang memaksanya berehat panjang selama tiga setengah bulan, sebelum ini.

“Selepas perlawanan menentang Real Sociedad, Dembele menghadapi masalah dengan paha kirinya dan ujian mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan hamstring di bahagian otot tetapi ia tidak membabitkan kawasan di mana dia menjalani pembedahan pada awal musim ini,” kata Barcelona dalam kenyataan di laman webnya.

“Kecederaan itu bermakna dia akan tersisih untuk tempoh masa sekitar tiga ke empat minggu.”

Bekas pemain Borussia Dortmund itu ketika ini berlumba dengan masa untuk bersedia bagi perlawanan pertama Liga Juara-Juara menentang Chelsea di Stamford Bridge yang dijadual pada 20 Februari ini.

Dembele hanya kembali beraksi pada awal bulan ini selepas mengalami kecederaan hamstring pada September tahun lalu.

Masalah kecederaan merencatkan permulaan kerjayanya di Barcelona susulan perpindahan AS$124 juta (RM489.47 juta) dari Dortmund pada Ogos lalu.

Sementara itu, Barcelona juga mengesahkan pemain veteran, Andres Iniesta “mempunyai masalah di betis kanannya dan proses pemulihannya akan menentukan bila dia kembali beraksi untuk perlawanan yang akan datang.”

Bos Barca, Ernesto Valverde juga tidak dapat menggunakan pemain yang baharu dibeli, Philippe Coutinho sehingga akhir bulan ini selepas dia tiba dari Liverpool dengan kecederaan paha.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 3:29am
d