utama

Selesa lepas penat atas pokok

Oleh HM Digital

Baling: Kreativiti seorang penduduk di Kampung Paya Besar Hulu, di Kuala Ketil, dekat sini, terserlah apabila membina pondok di atas pokok berhampiran rumahnya sebagai tempat beristirahat dan melepaskan penat bekerja.

Imran Baharum, 47, yang bekerja sebagai pemandu van kilang mengambil inisiatif itu kerana lebih selesa berehat dan tidur di pondok itu sambil menikmati udara segar berbanding udara di rumah agak terperap.

Menurutnya, pondok yang berlantaikan papan, berdindingkan papan lapis dan beratapkan plastik itu dibina tahun lalu itu selamat untuk berehat kerana ia didirikan di atas pohon limau yang mempunyai banyak dahan bercabang selain mempunyai struktur binaan sokongan bagi menguatkan kedudukannya.

“Kerja seharian hingga ke malam sebagai pemandu van kilang memang memenatkan kerana perlu mengambil pekerja di merata tempat sekitar Kuala Ketil untuk dihantar dan dijemput pulang dari berkerja kilang di Seberang Perai Pulau Pinang.

“Justeru, saya jadikan pondok ini sebagai tempat berehat dan jika cuaca agak panas, saya akan tidur sendirian pada waktu malam atas pondok ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Selain mendirikan pondok, Imran juga menggantungkan buaian jaring pada pokok yang sama yang cuma boleh digunakan seorang saja untuk berehat pada ketinggian kira-kira 10 meter dari tanah.

Bapa kepada lima anak terbabit tidak perlu banyak mengeluarkan ‘modal’ untuk mendirikan pondok berkenaan kerana ia menggunakan sisa binaan rumahnya seperti kayu sokongan, papan lapis, paku dan papan palet yang terjamin dari segi ketahanannya.

Imran berkata, pondok terbabit berkeluasan kira-kira 3.5 meter panjang dan 3.5 meter lebar mampu menempatkan lima orang untuk berehat atau tidur di dalamnya.

Katanya, pembinaan pondok itu adalah sebagai persediaan kemungkinan berlaku fenomena cuaca kering melampau yang pernah berlaku sebelum ini yang menyebabkan cuaca panas pada waktu siang dan malam.

Katanya, disebabkan keadaan pondok itu unik dan pada kedudukan agak tinggi, ramai kawan serta jiran mengambil kesempatan berehat dan tidur di situ pada waktu malam kerana mahu merasai kelainan suasana.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 4:32am
d