utama

Saya dan bayi sihat, Alhamdulillah

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENGACARA popular, Jihan Muse menafikan khabar angin bayi dalam kandungannya kurang aktif seperti yang dilaporkan beberapa blog, hari ini.

Jihan, 35, berkata dia baru sahaja menjalani pemeriksaan doktor kelmarin dan anak lelaki bakal dilahirkan tidak lama lagi berada dalam keadaan sihat.

“Saya dan bayi sihat, alhamdulillah. Kalau tak percaya boleh tengok malam ini di IG Story saya sebab ada aktiviti sikit bersama rakan.

“Tempoh hari saya memang demam, tetapi tidaklah sampai sakit kritikal. Dalam usia kandungan yang sudah mencecah sembilan bulan ini, demam adalah perkara biasa. Jadi, pergerakan pun sedikit terbatas.

“Saya mengharapkan semua orang doakan yang baik-baik saja untuk saya dan anak yang bakal lahir ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jihan, dia malas layan tindakan segelintir blog yang sesuka hati melapor berita tanpa sebarang usul periksa.

“Saya malas nak layan sebab mereka nanti dapat buat duit dengan cerita yang diterbitkan.

“Kalau saya komen pun, mereka akan ambil cerita ini juga. Sekali lagi, doakan yang baik-baik,” katanya.

Jihan yang juga pengacara program Gegar Vaganza akui semakin berdebar untuk bersalin yang dijangka hujung bulan ini.

“Sekarang bayi sudah 38 minggu. Doktor kata bayi sudah matang. Jadi, saya bersedia bila-bila masa saja.

“Selama ini orang tanya gementar atau tidak nak bersalin. Diakui, sekarang bila semakin dekat nak bersalin, saya sudah rasa gementar.

“Jadi, saya cuma amalkan doa dan surah ibu mengandung semoga dipermudahkan. Kalau ada sesiapa nak berkongsi tips boleh komen di IG atau YouTube program Hi Mommy Jihan,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 7:41pm
d