utama

'Burung' mengintai dari celah seluar [METROTV]

Oleh Amrullah Abdul Karim

LELAKI berusia lingkungan 20-an bertindak menunjukkan kemaluannya kepada jurujual wanita sambil berpura-pura mencari seluar di kedai pakaian di Jalan Orkid, Bukit Beruntung, pagi hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian 9.33 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun terkejut melihat lelaki berkenaan tiba-tiba menunjukkan 'anu' sambil menggoyangkan badan.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, melihat keadaan pelik berkenaan, dia bergegas memaklumkannya kepada rakan sekerja.

"Saya bimbang dan merasakan lelaki itu cuba melakukan gangguan seksual," katanya ketika ditemui Harian Metro petang tadi.

Menurutnya, atas faktor keselamatan, dia tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa untuk tindakan lanjut.

Kejadian itu turut tersebar di Facebook (FB) menerusi posting seorang pekerja premis yang memaparkan rakaman video selama 40 saat mengenai perbuatan lelaki terbabit.

Dalam pada itu, pemilik kedai yang enggan dikenali berkata, perbuatan jijik lelaki berkenaan turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis.

"Lelaki itu tidak mengaku perbuatannya dan berpura-pura mahu beli seluar dengan harga RM20 dan beredar beberapa minit kemudian.

"Saya hanya bimbang lelaki itu mengulangi perbuatan berkenaan kerana ia bukan kali pertama kejadian berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 8:02pm
d