utama

'Jumpa tengah main hujan...'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

DUA beradik berusia 15 dan tiga tahun yang dilaporkan hilang ketika keluar ke kedai serbaneka di Batu 16, Rawang, Gombak, kira-kira jam 1 petang, kelmarin dijumpai orang awam sedang bermain hujan di Kampung Sungai Penchala.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Syafikah, anak yang sulung dan adik keempatnya, Aiman Daniel, dijumpai pada 6.45 petang tadi dan diserahkan ke Balai Polis Rawang selepas orang awam yang menemui mereka menghubungi bapa kanak-kanak berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan namun pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui cerita sebenar bagaimana mereka hilang dan bagaimana boleh berada di Kampung Sungai Penchala.

 "Hasil pemeriksaan pada tubuh kedua-dua kanak-kanak itu tidak menemui sebarang tanda kecederaan.

"Namun, hasil siasatan kita kini lebih menjurus untuk mengetahui cerita sebenar dan bagaimana mereka boleh berada di Kampung Sungai Penchala," katanya.

Berita kehilangan kanak-kanak itu dilaporkan portal berita Harian Metro petang tadi selepas kedua-duanya tidak kembali ke rumah mereka di Flat Blok A, Aman Setia, Batu 16, Rawang, selepas ibu mereka menyuruh membeli susu sekitar jam 12.30 tengah hari.

Malah, keluarganya turut membuat laporan polis di Balai Polis Rawang, pada jam 10.30 malam kelmarin mengenai kehilangan mereka.

Berita berkaitan: 

Tolonglah kesan dua beradik ini!

 

 

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 12:12am
d