utama

Wujudkan biasiswa RM1.3j

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Pelakon Mira Filzah bukan saja tersenarai sebagai artis cantik dan berbakat, malah dia juga membuktikan kerjaya seni diceburi bukan halangan untuk menggenggam segulung ijazah.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Cinta Si Wedding Planner ini layak dikatakan ‘beauty with brain’ kerana mempunyai misi dan visi yang luas terutama membabitkan ilmu.

Malah, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25, mengakui ilmu sangat penting dalam kehidupan bagi mencapai cita-cita.

Disebabkan itu, Mira yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Perniagaan Antarabangsa Universiti Teknologi MARA (UiTM) seboleh-bolehnya ingin orang sekeliling juga menjadikan ilmu dan pendidikan sebahagian daripada matlamat hidup.

Atas inisiatif itu, Mira dengan kerjasama Aesthetic Skin International Institute mewujudkan biasiswa Mira Filzah berjumlah RM1.3 juta untuk belajar jurusan Keusahawanan Kecantikan (Beauty Entrepreneurship) di Aesthetic Skin International Institute di Bandar Sunway.

“Ini satu cara saya dapat membantu orang lain berjaya mengejar cita-cita. Lebih membanggakan apabila pelajar terbaik Aesthetic Skin Group (ASG) akan diberi modal untuk memulakan perniagaan.

“Niat saya hanya untuk memberi sesuatu kepada masyarakat. Dari dulu sampai sekarang, saya sangat menitikberatkan pendidikan dan ilmu.

“Disebabkan itu, saya mahu orang sekeliling dapat peluang menuntut ilmu dan kejar cita-cita serta kerjaya. Peluang bekerjasama dalam projek ini sesuatu yang mengujakan. Kalau boleh, saya mahu ramai yang berjaya,” katanya.

Begitu juga dalam kerjaya, Mira yang kini bergelar pengacara program Nona perlu sentiasa peka dengan isu semasa selain mempunyai pengetahuan mendalam mengenai sesuatu isu.

“Oleh kerana konsep program ini lebih berilmiah, saya menonton beberapa episod dan belajar cara pengacaraan daripada pengacara terdahulu. Namun, saya cuba mengacarakan program ini mengikut cara dan rentak saya sendiri.

“Pembawaan diri saya tetap sama. Cuma, saya perlu perbanyakkan pengetahuan am dan maklumat terkini. Imej saya pun tidak berubah kerana ia masih konsep yang sama. Apatah lagi, ini antara program yang masih bertahan lama di TV3 sejak 32 tahun lalu.

“Malah Nona memiliki kelasnya yang tersendiri. Jadi, tanggungjawab sebagai pengacara untuk mengekalkan kepercayaan itu sangat sukar. Ini yang paling saya risaukan,” katanya.

Jauh di sudut hati, Mira berharap penonton tidak membandingkan dirinya dengan pengacara terdahulu.

Menyifatkan dirinya masih baru dalam bidang pengacaraan, Mira mohon diberikan ruang dan masa untuk menyesuaikan diri serta memberikan yang terbaik untuk program kegemaran ramai itu.

“Tidak dinafikan ada membandingkan penampilan saya dengan pengacara lain sebelum ini yang kebanyakannya terdiri daripada nama besar dalam dunia penyiaran.

“Memandangkan baru dua episod bersiaran, saya berharap penonton atau peminat setia Nona memberikan ruang untuk tampil dengan gaya penyampaian sendiri.

“Diakui pada episod pengenalan saya kelihatan kekok dan agak gementar di depan kamera, namun berilah sedikit masa. Insya-Allah saya akan perbaiki segala kekurangan dari semasa ke semasa,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran episod keempat.

Apa yang pasti, Mira akui semakin selesa mengacara apatah lagi bidang itu sudah menjadi minatnya sejak di bangku sekolah.

“Saya anggap peluang mengacara Nona adalah rezeki. Lagipun, ini detik yang saya sudah tunggu lama. Sebenarnya, saya lebih sukakan dunia pengacaraan, namun rezeki saya dalam bidang lakonan.

“Bagi saya kedua-dua cabang seni ini ada cabaran tersendiri, malah saya jenis yang sedia berdepan apa juga kemungkinan. Kalau tidak lalui, kita tak tahu macam mana nak mengawal atau menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.

Masih solo

Berkongsi mengenai sisi peribadinya, Mira yang pernah digosipkan bercinta dengan Zizan Razak akui pelawak itu sekadar kawan biasa.

Malah, buat masa sekarang hati Mira belum dimiliki sesiapa kerana ingin memberi fokus kepada kerjaya.

“Saya tiada kriteria tertentu untuk mengatakan seseorang itu lelaki idaman. Mungkin kadang-kadang apabila sudah bercinta, perasaan itu akan datang sendiri. Saya cuma berharap dipertemukan dengan lelaki yang baik, hormat keluarga dan baik dari segi didikan agamanya.

“Lelaki itu juga perlu ada pendirian dan rasa tanggungjawab. Secara asasnya biarlah dia seorang yang berkerjaya dan bercita-cita tinggi agar dia serta saya sama-sama boleh saling menyokong antara satu sama lain.

“Mengenai perancangan berumah tangga, buat masa ini belum terfikir lagi. Calon pun tak ada. Saya pun masih muda. Insya-Allah kalau ada jodoh, saya akan beritahu. Buat masa ini memang tak ada, masih solo,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 3:20am
d