utama

Henti solat kejar pencuri [METROTV]

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

JEMAAH wanita warga emas kerugian kira-kira RM20,000 apabila beg tangannya berisi barang kemas dan wang tunai RM3,000 dilarikan pencuri di Masjid Kota, Kota Bharu, kelmarin.

Kejadian berlaku pada 6.33 pagi (berdasarkan waktu rakaman) ketika jemaah berusia 74 tahun itu sedang bersolat Subuh dan dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di masjid itu.

Terdapat 12 CCTV yang dipasang di masjid itu.

Imam Tua Masjid Kota, Muhamad Lokman Zakaria berkata, kejadian disedari apabila warga emas itu menjerit sebaik begnya yang diletakkan di bawah kerusi direntap pencuri berkenaan.

"Warga emas itu uzur dan bersolat atas kerusi. Jadi begnya diletakkan di bawah kerusi sebelum suspek bertindak merentapnya dan disedari jemaah itu.

"Difahamkan, dia (mangsa) sempat memegang tangan pencuri itu sebelum menjerit: ‘Pencuri.... beg aku’. Jeritannya disedari kami dan ada beberapa jemaah lelaki berhenti solat dan cuba mengejar, tetapi tidak sempat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Lokman, 35, berkata, berdasarkan rakaman, suspek pada mulanya cuba mengambil beg tangan jemaah wanita di saf belakang, namun tidak kesampaian apabila jemaah itu sujud dan menindih begnya.

"Ketika sujud kedua dia melangkah dua saf untuk mengambil beg tangan warga emas terbabit di saf paling depan," katanya yang memberitahu pencuri itu memakai baju panas hitam berhud dan menutup mulutnya dengan tangan.

Beliau berkata, kejadian itu kali kedua selepas sistem pembesar suara masjid hilang, tahun lalu.

Muhamad Lokman turut menasihati jemaah supaya tidak membawa barangan berharga ke masjid dan lebih berhati-hati selepas ini.

"Apa yang saya kesalkan adalah kecurian begini berlaku di rumah ibadat kita, sedangkan rumah ibadat lain tidak berlaku kejadian sebegini," katanya.

Sementara itu, warga emas berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia membawa wang tunai dan barang kemas itu ke masjid kerana bimbang berlaku kecurian di rumahnya.

Bagaimanapun, kejadian malang itu berlaku menyebabkan dia kerugian besar.

"Saya reda dan percaya ada hikmahnya. Kejadian ini tidak mematahkan semangat saya ke masjid, cumanya saya akan lebih beringat selepas ini dan takkan bawa beg lagi," katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 4:30pm
d