utama

'Sampai tinggal RM26 kau kebas...'

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Seorang ahli perniagaan mendakwa kerugian RM780,000 selepas terpedaya dengan panggilan daripada tiga individu yang menyamar sebagai sebagai pegawai daripada pelbagai agensi berbeza, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa berusia 58 tahun, menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank.

Menurutnya, dalam perbualan itu suspek memaklumkan mangsa ada berhutang kad kredit berjumlah RM3,970.75 dan seterusnya menyambungkan perbualan berkenaan kepada seseorang yang didakwa pegawai dari Bank Negara untuk tindakan lanjut.

"Sebelum perbualan dihubungkan, mangsa dikatakan telah mendedahkan semua maklumat peribadi termasuk jumlah wang tunai yang dimiliknya kepada ‘pegawai bank’ itu.

"Sekitar 11 pagi (hari sama) mangsa menerima satu lagi panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai polis’ yang menyiasat kes mangsa.

"’Pegawai polis’ terbabit memaklumkan jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang, mangsa perlu memindahkan semua wang miliknya kepada suspek melalui tiga akaun berbeza," katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, hari ini.

Tambahnya, suspek terbabit turut menjanjikan semua wang yang dipindahkan ke tiga akaun itu akan dimasukkan semula ke dalam akaun mangsa dalam tempoh 24 jam setelah siasatan dijalankan.

"Panik dengan keadaan itu, mangsa memindahkan semua wangnya kepada satu nama melalui tiga akaun berbeza melalui transaksi di sebuah bank di Bagan Serai.

"Namun selepas tempoh 24 jam mangsa memeriksa semula akaun miliknya namun terkejut apabila mendapati wang yang dipindahkan tidak dimasukkan semula ke dalam akaunnya malah hanya berbaki RM26 sahaja.

"Lebih mengejutkan mangsa sekali lagi dihubungi salah seorang suspek yang meminta wang tambahan berjumlah RM120,000 dimasukkan ke akaun yang dinyatakan berikutan wang sedia ada (RM780,000) tidak mencukupi," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, mangsa yang berasa ditipu segera membuat laporan polis berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 7:15pm
d