utama

Hadiah Hairul untuk abah

Oleh Nor Akmar Samudin

PELAKON Hairul Azreen, 29, memberi kejutan kepada bapanya, Idris Ali, dengan menghadiahkan kereta mewah BMW warna merah menyala.

Ia dikongsi Hairul di laman sosial Instagramnya apabila memuat naik video kejutan itu. Dalam keadaan terkejut, bapanya bertanya dua tiga kali adakah betul Hairul menghadiahkan kereta itu kepadanya.

Kata Hairul, dia mahu memberi hadiah kereta kepada bapanya sejak tahun lalu lagi tetapi belum ada rezeki.

“Awal tahun ini apabila ada rezeki lebih, saya tunaikan janji saya dan bapa terkejut apabila saya menyerahkan kunci kepadanya malam kelmarin di satu tempat letak kereta di Kuala Lumpur.

“Ketika saya mahu melangsungkan perkahwinan dengan Hanis Zalikha pada 2015, saya menghadiahkan kereta kepada ibu dan kali ini giliran bapa pula.

“Selagi hayat mereka ada, saya mahu membahagiakan mereka berdua. Kami anak-anak gembira apabila melihat mak dan abah gembira.

“Hadiah ini kecil saja kalau hendak dibandingkan dengan pengorbanan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Hairul enggan berkongsi lebih lanjut jenis kereta dan nilainya dan hanya menyatakan kereta BMW.

Beberapa hari lalu, Janna Nick menghadiahkan ibunya kereta mewah Mercedes-Benz CLA 200 dianggarkan bernilai lebih RM230,000 sempena ulang tahun kelahiran ke-44.

Sebelum ini, Shuib Sepah dan Fattah Amin juga menghadiahkan kereta untuk ibu mereka.

Mengulas perkara itu, pelakon Pencuri Hati Mr. Cinderella berkata, jika ada yang kata ia trend artis menghadiahkan kereta kepada ibu bapa, dia tidak bersetuju.

“Saya tidak meniru sesiapa, apa yang saya buat untuk menggembirakan orang tua saya dan jasa mereka melahir, membesar dan mendidik saya selama ini memang tidak terbalas,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 6:30pm
d