utama

Kuat jodoh Adi, Aida

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“PERKAHWINAN ini kesinambungan hubungan kami 12 tahun lalu. Saya percaya ini adalah jodoh dan ketentuan Allah yang sudah ditetapkan untuk kami,” kata pelakon Datuk Adi Putra, 37, yang selamat melangsungkan pernikahan dengan bekas isteri, Aida Yusof, 43, semalam.

Majlis pernikahan itu diketahui umum apabila dikongsi rakan baik mereka, Datuk Nurulhidayah yang juga anak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Instagram miliknya.

Pasangan ini turut berkongsi gambar pernikahan mereka di laman Instagram masing-masing.

Pelakon filem KL Gangster itu berkata, tidak ada apa yang perlu dijelaskan mengenai keputusannya mengahwini semula Aida atau Zuhaidah Yusof.

“Setiap yang berlaku dalam kehidupan ini adalah aturan Allah. Siapa saya untuk menindakkan semua ini. Saya yakin Allah mempunyai perancangan yang terbaik untuk setiap umatnya.

“Saya juga anggap ini peluang yang diberikan Allah untuk kami perbaiki lagi hubungan yang pernah dilalui sebelum ini. Biarlah yang berlaku sebelum ini menjadi pengajaran bersama.

“Terima kasih atas ucapan tahniah dan doa semua. Doakan perkahwinan ini kekal selamanya,” katanya kepada Harian Metro.

Adi juga enggan berkongsi lokasi dan masa pernikahan mereka. Melalui laman Instagram Adi dan Aida, pasangan itu berkongsi dua gambar pernikahan mereka dan mengucapkan terima kasih kepada yang mendoakan jodoh mereka.

“Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada yang hadir dan mendoakan saya dan Aida. Semoga Allah permudahkan urusan kita bersama sebagai ummah,” katanya.

Adi dan Aida bernikah kali pertama pada 14 April 2006 dan tidak dikurniakan anak dan mengambil anak angkat, Zara Adelia, 6.

Pada Jun tahun lalu, Adi mencetuskan kontroversi apabila berkahwin dengan Norshahida Dzolkifly, 34, pada 20 Jun 2016.

Adi dalam kenyataannya menerusi Instagram pada 23 Mac tahun lalu mengatakan dia tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan kedua isterinya itu.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 8:45pm
d