utama

SubhanAllah... indahnya berbuat baik sesama insan

Oleh Asrizal Aris

“ADA yang minta saya padam perkongsian itu, tapi saya tak buat sebab tak salah kongsi pengalaman tentang betapa indahnya berbuat baik kepada insan yang memerlukan," kata akauntan, Sharul Hafidz Farahat, 23.

Sharul adalah individu yang memberikan selipar kepada lelaki warga emas di dalam tren selepas melihat lelaki itu berkaki ayam dan kesejukan di dalam pengangkutan awam itu.

Tindakan Sharul dalam kejadian Rabu lalu menyebabkan seorang wanita memberikannya ganjaran RM50 untuk membeli selipar yang baru dan kisah itu dikongsikan di Twitter.

Sharul berkata, dia teruja dengan kejadian itu yang mana perbuatan baik dilakukannya itu menerima balasan segera daripada Allah SWT, lalu berkongsi pengalaman berkenaan di laman sosial sebagai inspirasi buat penumpang tren lain.

Bercerita semula kejadian itu, katanya, dia sedih apabila melihat lelaki tidak berselipar itu ditertawakan oleh sekumpulan remaja yang merakam keadaan individu itu.

"Bayangkanlah kalau pakcik itu adalah bapa atau saudara kita sendiri, mesti sedih. Walaupun pada mulanya, saya sangka pakcik itu ada masalah (mental), tapi saya tetap hormatinya.

"Kebetulan pakcik itu duduk di sebelah saya yang sedang berdiri, lalu saya tanya mengapa tidak memakai selipar, dia menjawab selipar dia hilang sebab dihanyutkan arus longkang ketika solat Maghrib.

"Timbul rasa bersalah kerana membuat sangkaan negatif pada dia sebelum itu. Dalam hati saya, Allah... ampunkanlah aku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Sharul, tanpa membuang masa dia mengeluarkan selipar miliknya di dalam beg untuk disedekahkan kepada warga emas itu sebelum seorang wanita datang kepadanya.

"Makcik itu cakap ambillah 'gula-gula' ini. Semua yang ada di situ melihat situasi itu termasuk sekumpulan remaja tadi. Rupanya 'gula-gula' itu adalah duit RM50.

"Saya menjadi segan dan menolaknya, tetapi makcik itu suruh ambil juga untuk beli selipar baru. Pakcik yang saya sedekahkan selipar tadi pun minta saya ambil," kata anak kedua daripada lapan beradik itu.

Menurut Sharul yang menetap di Hulu Langat, sebaik sahaja turun daripada tren, dia membeli selipar yang baru dan muhasabah diri dengan kejadian yang berlaku.

Katanya, dia bersyukur kerana bukan sahaja dia mempelajari manfaat membuat kebaikan kepada orang lain, malah situasi itu mampu menjadi teladan kepada penumpang lain yang ada di situ menyebabkan dia berkongsi kisah itu di Twitter.

"Alhamdulillah, ramai yang terkesan dan beri respon baik. Tetapi ada juga yang cakap saya riak dan menunjuk-nunjuk serta minta saya padam perkongsian itu, namun saya biarkan sebab hanya Allah SWT dan saya tahu apa niat saya.

"Cuba bayangkan kalau setiap hari kita saksikan kebaikan walaupun satu kebaikan saja, bukan orang yang buat itu saja mendapat manfaatnya tetapi orang lain juga dapat melihat betapa indahnya jika berbuat baik sesama insan," katanya.

Perkongsian Sharul yang dimuat naik di Twitter pada malam Rabu lalu menerima pelbagai reaksi netizen dan tular di laman sosial lain sejak semalam.

 

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 10:00pm
d