utama

V Shem-Wee Kiong singkir juara dunia

Oleh Helmi Talkah

BEREGU lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mempamerkan belang sebenar apabila mengesahkan tempat ke separuh akhir Masters Malaysia, malam tadi.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu membuktikan kualiti dimiliki apabila bangkit selepas tewas di set pertama untuk melakar kemenangan 12-21, 21-18, 21-18 ke atas juara dunia 2017 dari China, Liu Chen-Zhang Nan dalam aksi suku akhir di Arena Axiata Bukit Jalil.

Mereka kini di landasan tepat bagi menamatkan kemarau kejuaraan sejak kali terakhir menjuarai Siri Super Akhir 2016 apabila akan bertemu pasangan Taiwan, Chen Hung Lin-Wang Chi Lin bagi perebutan tempat ke final.

Sementara itu, beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie turut mara ke separuh akhir selepas menang ke atas rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-14, 21-15.

“Kami bermain dengan baik hari ini, bukan mudah bermain menentang rakan sepasukan kerana sudah tahu kelebihan dan kelemahan masing-masing. Cuma, strategi perlawanan kami hari ini menjadi dan berjaya mengatasi mereka,” kata Shevon selepas perlawanan.

Mereka akan bertemu pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong yang mara selepas menewaskan satu lagi pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-13, 21-17.

Dalam pada itu, hasrat perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei untuk melakar kejutan ke atas pemain nombor empat dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon tidak kesampaian apabila tewas 23-21, 6-21, 10-21.

“Saya banyak melakukan kesilapan terutama set kedua dan ketiga. Saya tidak sabar dan terlalu fikir mahu cepat tamatkan perlawanan, itu yang perlu saya perbaiki lagi,” kata Jin Wei.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 1:39am
d