utama

Ditawar beraksi di Malaysia

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Industri hiburan Malaysia sentiasa terbuka menerima bakat dari luar negara. Tiada diskriminasi kerana dalam soal seni bukan bangsa, agama atau asal yang menjadi titik tumpu tetapi bakat yang sewajarnya dijunjung.

Oleh itu, ramai penggiat seni dari seberang berpeluang mencipta nama di negara ini tidak kira dalam bidang lakonan mahupun seni suara.

Tidak hairanlah mengapa teraju utama filem Ayat Ayat Cinta 2 (AAC2), Fedi Nuril, memasang impian mengembangkan sayap seninya di negara ini seperti rakan senegaranya.

“Semestinya saya mahu mencuba nasib di Malaysia. Mungkin ramai mengenali saya sebagai pelakon Indonesia tetapi kalau ada rezeki di sini, apa salahnya,” katanya.

Menurut Fedi yang ditemui pada sesi fotografi sempena tayangan perdana AAC2 di ibu negara baru-baru ini, dia pernah menerima beberapa tawaran lakonan di sini.

“Ada dua tiga tawaran menjayakan filem di sini tetapi tidak dapat saya penuhi kerana jadual penggambaran bertindih dengan komitmen yang sudah dipersetujui lebih awal.

“Sayang memang sayang sebab skrip semua filem itu sangat berkualiti dan saya suka. Namun, apakan daya kekangan masa membataskan saya untuk menerima tawaran ini,” katanya.

Selain filem, Fedi turut menerima beberapa tawaran membintangi drama di negara ini.

“Tawaran untuk siri TV juga ada beberapa tahun lalu. Antaranya, Gol & Gincu,” katanya.

Harap AAC2 jadi fenomena

Selepas bertungkus-lumus menjayakan AAC2, sudah pasti aktor berkaliber itu mahu karya terbabit diterima baik penonton.

Atapah lagi dia sedia maklum AAC yang pernah ditayangkan sedekad lalu pernah menjadi fenomena bukah sahaja di negara kelahirannya bahkan di Malaysia.

“Kalau yang pertama menjadi sebutan dan fenomena, sudah tentu saya mengharapkan sekuelnya akan meraih kejayaan lebih besar.

“Ini kerana ia lebih bersifat universal dan matang. Bukan sahaja karakter Fahri yang saya lakonkan tetapi jalan ceritanya juga lebih mendalam dan mengandungi pelbagai mesej untuk penonton,” katanya.

Ditanya mengenai keselesaannya melakonkan watak lelaki berpoligami dalam AAC2 dan Surga Yang Tak Dirindukan, Fedi berkata sebagai pelakon menjadi amanahnya untuk menghadam setiap tugasan yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Penonton Indonesia masih mahu satu lagi karakter lelaki berpoligami. Mungkin ada beranggapan saya hanya mampu bawa watak sebegitu selepas menonton filem lakonan saya.

“Kalau ikutkan hati, saya tak mahu lagi bawa karakter sebegini. Apa boleh buat, orang masih sukakannya dan selagi masih ada permintaan saya akan teruskan,” katanya.

Selepas AAC2 ditayangkan, dia menerima reaksi mengejutkan daripada peminat wanita.

“Ada beberapa peminat wanita datang bertemu saya dan mengatakan saya adalah lelaki yang mereka mahukan sebagai suami.

“Saya lihat dari sudut positif, yang lakonan saya sebagai Fahri menjadi sehingga meninggalkan impak besar di hati penonton. Jadi, saya senang dengan situasi ini,” katanya.

Poligami tak mudah

Ditanya pendapatnya mengenai poligami, Fedi berkata dia banyak belajar daripada karakter Fahri.

“Selepas berlakon beberapa karakter lelaki poligami, saya sedar untuk ada lebih daripada satu isteri bukan semudah yang disangka.

“Sekiranya lelaki mahu berpoligami, stamina mereka perlu kuat dan saya boleh bayangkan ia tidak mudah.

“Kalau ada yang berpoligami dan mampu membuat semua isterinya gembira, itu sangat menakjubkan,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan berpegang dengan prinsipnya untuk tidak berpoligami, Fedi berkata dia serahkan perkara itu kepada ketentuan Ilahi.

“Saya tak berani bercakap atau berjanji untuk tidak berpoligami kerana tak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan.

“Isteri saya juga tak pernah berbicara mengenai perkara ini malah saya sendiri bercakap dengannya yang saya tidak sanggup kerana ia terlalu rumit,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 4:20am
d