utama

'Resipi' kambing gurun

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Jual minyak rendaman kepala kambing gurun dengan dakwaan boleh menyembuhkan masalah lemah tenaga batin lelaki selain mengubati pelbagai penyakit lain.

Aktiviti menjual minyak kambing gurun itu bagaimanapun mampu mengundang padah berikutan haiwan berkenaan adalah hidupan liar dilindungi dan diharamkan diburu.

Terbaru pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menahan dua lelaki tempatan yang dikesan menjual minyak kambing gurun kepada orang ramai di Jalan Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penahanan dilakukan oleh anggota PERHILITAN Kedah selepas mendapati dua lelaki terbabit menyimpan bahagian hidupan liar secara tidak sah pada Isnin lalu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap dua lelaki terbabit mendapati dua bahagian hidupan liar disyaki kepala kambing gurun diletakkan dalam sebuah bekas plastik berisi minyak.

“Suspek yang disoal siasat gagal menunjukkan sebarang permit khas dikeluarkan PERHILITAN bagi membolehkan mereka menyimpan bahagian hidupan liar itu.

“Kami percaya minyak kepala kambing gurun itu dijual untuk perubatan tradisional malah ada kemungkinan ia diperoleh secara tidak sah melalui aktiviti pemburuan haram,” katanya.

Susulan itu kepala kambing gurun itu disita dan dua lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Kadir berkata, sabit kesalahan dua individu itu boleh dihukum dengan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 selain penjara tidak melebihi lima tahun.

“Sehubungan itu, PERHILITAN mahu menasihati masyarakat menjalankan aktiviti pemburuan dan penyimpanan hidupan liar dengan cara yang sah dan mematuhi perundangan dikuatkuasakan.

“Pemburuan hidupan liar dibenarkan melalui pengeluaran lesen memburu hidupan liar oleh PERHILITAN,” katanya.

Sebarang aktiviti mencurigakan boleh disalurkan melalui talian PERHILITAN Hotline 1-800-88-5151 (Isnin- Ahad, 8.00 pagi – 6.00 petang) atau e-aduan melalui laman web Jabatan www.wildlife.gov.my.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 6:20am
d