utama

Ajal pulang menuntut ilmu

Oleh Rosli Ilham

MURID darjah empat maut selepas basikal ditunggangnya dirempuh dua motosikal dalam kejadian di Kilometer 1, Jalan Chukai-Air Putih, Kemaman, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, Muhammad Adib Ashraf Badrulhisham, 10, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai, disahkan meninggal sejam selepas kemalangan ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Kemaman.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang basikal dirempuh dua motosikal ketika sedang menyeberang jalan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, nahas itu dipercayai berlaku selepas dua motosikal masing-masing jenis Honda EX5 ditunggangi remaja lelaki berusia 16 tahun dan motosikal Yamaha 125Z dinaiki pemuda berumur 25 tahun gagal mengelak dan melanggar sisi kanan basikal mangsa yang sedang melintas jalan.

"Mangsa tercampak ke atas jalan dan parah pada bahagian kepala serta badan sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan.

"Dua penunggang motosikal itu bagaimanapun cuma cedera dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama. Ketika kejadian, kedua-dua mereka dalam perjalanan ke Air Putih," katanya, hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika cuaca hujan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Jenazah mangsa dituntut ibunya pada 12.10 tengah malam tadi dan dibawa pulang ke rumah mereka untuk urusan pengebumian," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Aida Ruhyani Abdul Rashid berkata, kejadian berlaku ketika anak itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengulang kaji pelajaran di rumah rakannya tidak jauh dari tempat kejadian.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 2:27pm
d