utama

Tunggu lapan lagi

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: “Sekarang baru 10 menantu, lapan lagi akan menyusul selepas ini,” kata Mohd Nor Awang, 67, bapa kepada 18 anak hasil perkahwinannya dengan empat isteri ketika ditemui pada Majlis Perkahwinan anak perempuannya yang ketiga di rumahnya di Kampung Tok Fakir, Merchang di sini, semalam.

Mohd Nor atau lebih mesra dipanggil Abe Nor berkata, setiap kali menerima menantu, dia berasa sungguh bahagia kerana jumlah keluarga semakin bertambah.

“Tiada yang lebih membahagiakan seorang ayah selain mengahwinkan anak dengan orang yang mereka cintai.

“Saya tidak cerewet memilih menantu, asalkan pilihan anak itu orang baik-baik dan dicintai mereka, saya hanya bersetuju dan menyambut baik,” katanya yang mempunyai 10 anak lelaki dan 8 perempuan berusia 14 hingga 44 tahun.

Menurutnya, dia kini mempunyai 18 cucu dan mengakui seronok serta tidak sabar memperoleh lebih ramai keturunan pada masa akan datang.

“Seronok hidup berkeluarga besar terutamanya ketika menyambut Ramadan dan Adilfitri. Memandangkan keluarga kami besar, kami boleh menganjurkan program keluarga tanpa membabitkan orang luar.

“Selain itu, setiap masalah diselesaikan bersama dan sekiranya menganjurkan majlis keramaian termasuk kenduri kahwin kami menguruskannya sendiri secara bergotong-royong,” katanya.

Menurutnya, dia sentiasa mengumpulkan semua isteri, anak, menantu dan cucu pada setiap bulan untuk bertanyakan masalah masing-masing.

Pada majlis itu, anak perempuannya, Norhafizah Mohamed Nor, 30, melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya, Mohd Iskandar Ismail, 29, yang berasal dari Selangor.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan Mohd Nor Awang yang mempunyai tiga isteri iaitu Wan Rukiah Mat Yusoff, 61, Khalthum Dollah, 48, dan Noraini Daud, 50, berdepan masalah apabila permohonannya di Mahkamah Tinggi Syariah untuk berkahwin isteri keempat Suzi Sulong, 43, ditangguh pihak mahkamah.

Masalah itu mendorong ketiga-tiga isterinya membuat rayuan supaya membenarkan serta menyokong permohonan suami mereka.

Isteri pertamanya, Wan Rukiah dikahwini pada 1973 dan dikurniakan sembilan anak manakala Khalthum dinikahinya pada 1987 dikurniakan empat anak.

Dia kemudian berkahwin dengan Noraini pada 1988 dan dikurniakan lima anak berusia 13 hingga 27 tahun manakala isteri keempat, Suzi pada 10 Julai 2008.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 5:52am
d