utama

Empat maut kemalangan

Oleh Muhammad Apendy Issahak

EMPAT maut dalam kemalangan dua motosikal dan kereta di Kilometer 278.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, hari ini.

Dalam kejadian 5.36 pagi itu, kemalangan membabitkan Kawasaki Ninja dan Yamaha RXZ serta Proton Iswara.

Kemalangan dipercayai berlaku akibat dua motosikal berkenaan yang bergesel sebelum hilang kawalan dan merempuh belakang kereta terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, akibat kemalangan itu dua penunggang motosikal maut di tempat kejadian dan dua pembonceng meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

“Hasil siasatan awal yang yang diperoleh daripada saksi kejadian, iaitu dari pemandu kereta berusia 33 tahun mendapati dua motosikal berkenaan ditunggang dari arah Simpang Pulai ke Ipoh.

“Ketika sedang berkonvoi dan apabila sampai di tempat kejadian dua motosikal berkenaan dipercayai bergesel sesama sendiri dalam kelajuan yang agak tinggi sebelum terbabas dan melanggar belakang Proton Iswara berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu motosikal RXZ melambung dan tercampak ke jalan kecul tepi lebuh raya.

“Penunggang Kawasaki Ninja dan Yamaha RXZ maut ditempat kejadian manakala dua pembonceng meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Bedah siasat sedang dijalankan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 10:21am
d