utama

Guna wang pencen beli dadah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI yang menghidap penyakit hati (Hepatitis C) antara sembilan individu ditahan polis kerana disyaki terbabit penagihan dadah di Sungai Tiang, Pendang, semalam.

Pesara tentera, 56, yang juga bapa kepada tiga anak itu mendakwa terpaksa mengambil dadah heroin kerana tidak tahan menanggung sakit akibat penyakit itu yang dialaminya sejak 2012 walaupun menjalani rawatan di hospital.

Malah, dia juga dikatakan pernah menjalani pembedahan lebih tiga kali untuk membuang cecair dalam hempedunya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.

Dia ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang diketuai Asisten Superintendan Mohamad Amin Mat Yassin dalam operasi bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari semalam.

Ketika ditahan, suspek yang mengalami bengkak di perut memberi alasan terpaksa mencari bekalan dadah kerana ketagih dan sanggup menggunakan wang pencen untuk membeli bahan terlarang itu.

Dia pernah ditahan dalam serbuan di lokasi sama dua tahun lalu kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah, namun tidak serik menagih dadah.

Dalam serbuan itu juga, polis menahan lapan lelaki lain disyaki penagih dadah termasuk seorang daripadanya kudung tangan kanan berusia 40-an.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, lelaki kudung itu ditahan kerana positif dadah morfin selepas menjalani ujian saringan air kencing.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki terbabit dengan penagihan dadah dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

"Semua yang ditahan dibawa ke IPD Pendang untuk diambil keterangan sebelum diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Fadzil berkata, semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 56 tahun dalam serbuan yang dilakukan di kawasan port dadah di Sungai Tiang.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 2:05pm
d