utama

Ajal budak tunggang basikal dirempuh kereta

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Budak lelaki berusia 11 tahun maut selepas basikal ditunggang dirempuh kereta dalam kejadian di Kilometer 37, Jalan Sitiawan - Teluk Intan, Kampung Gajah, hari ini.

Dalam kejadian 1.10 tengah hari itu, Shahzrin Daniel Mohd Rizal, yang beralamat di Lekir, Sitiawan dan juga murid Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kemalangan membabitkan penunggang basikal dengan kereta Proton Waja dipandu lelaki berusia 37 tahun.

“œSiasatan awal dijalankan mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu kereta dari arah Kampung Hujung Rintis (Sitiawan) menghala ke Sungai Besar (Teluk Intan) dan dipercayai merempuh mangsa yang menunggang basikal melintas jalan dari kanan ke kiri jalan.

“Akibat kemalangan ini, penunggang basikal maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak cedera”€ katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati kawasan kemalangan adalah jalan lurus dua hala dan cuaca baik tidak hujan.

“œTiada saksi lain yang melihat kemalangan itu dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan punca kematian disahkan akibat parah di kepala”€ katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 6:59pm
d