utama

2 sahabat ajal bersama

Oleh Rosman Shamsudin

HASRAT dua sahabat untuk makan bersama di pekan Tanjung Malim tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kilometer 376.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Slim River hari ini.

Mangsa, Mohd Hairric Mohd Hafiz Chandar, 28, yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R dan pembonceng, Mohd Syazwan Naim Mohd Sandradee, 26, maut di tempat kejadian.

Kedua-duanya berasal dari Ampang, Selangor dengan Mohd Hairric bekerja sebagai pemandu lori, manakala Mohd Syazwan Naim berkerja sendiri.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Rumah Anak Yatim Tapah, menuju ke Tanjung Malim untuk makan bersama.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan.

"Akibat pelanggaran itu, motosikal dinaiki terbabas dan Mohd Hairric terseret di tengah jalan manakala sahabatnya pula tercampak di bawah pembahagi jalan .

"Kedua-duanya disahkan maut di tempat kejadian dan siasatan polis juga mendapati terdapat kesan seretan sepanjang 67.3 meter di permukaan jalan lebuh raya itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat dan Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 8:08pm
d