utama

Diminta datang, temui jasad dah terdampar

Oleh Rosliza Mohamed

KELUARGA dari Panji, Kota Bharu terkejut apabila menemui mayat gadis yang juga ahli keluarga mereka terdampar di tepi Pantai Irama, Bachok, kira-kira 9 pagi tadi

Difahamkan, gadis berusia 20-an ditemui di pantai itu lengkap berpakaian.

Seorang ahli keluarga itu yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, anak bongsu daripada empat beradik itu ada menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada ahli keluarganya dari Panji, Kota Bharu, supaya mengambil kereta ditinggalkan di Pantai Irama, kira-kira 6 pagi.

"Mesej dihantar Subuh tadi meminta ahli keluarga ke Pantai Irama untuk mengambil Perodua Axia yang dipandunya di pantai berkenaan.

"Ahli keluarga pun terus ke sana dan terkejut apabila menemui dia di tepi pantai, tidak bernyawa lagi," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, mereka menunggu polis di tempat kejadian sebelum mayat mangsa dihantar ke HRPZ II untuk dibedah siasat.

Dia juga memberitahu gadis itu yang bekerja di farmasi di Tumpat dan tidak mempunyai masalah dengan keluarga, malah tidak mengetahui punca sebenar kejadian.

"Kami serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat perkara ini," katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 4:14pm
d