utama

Duka yang terus mencengkam [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal 

 

“IBU saya meninggal dunia, saya tidak sempat berada di sisinya untuk minta maaf kerana jaga anak yang ketika itu dalam keadaan kronik di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ,” kata Wan Salmi Suhana Wan Majeed,36, yang dua daripada lima anaknya sakit asma kronik.

 

Menurut Wan Salmi Suhana, duka dalam hidupnya terus mencengkam apabila suaminya Mohd Irwan Amir Hashim, 36, diberhentikan kerja berikutan sering mengambil cuti untuk menjaga dua anaknya yang sakit kronik itu iaitu Aqil Iman, 3, anak keempat dan Danish Iman,2, anak bongsu.

 

“Aqil Iman mengalami masalah asma kronik dan masalah kaki ‘flat foot’ (kaki datar) yang mana dia tidak boleh berjalan lama dan ototnya kini semakin mengeras. 

 

“Kami dapat kesan Aqil Iman menghidap penyakit berkenaan sejak berusia setahun apabila dia demam panas mengejut dan ketika itu saya dalam pantang selepas melahirkan anak bongsu terpaksa juga jaga Aqil Iman yang dimasukkan ke Zon Merah,” katanya.

 

Menurutnya, anak bongsunya turut mengalami masalah asma yang kronik sejak lahir hingga memberi kesan kepada paru-paru.

 

“Akibat asma yang kronik, Danish Iman mengalami masalah paru-paru kronik dan ‘proximal trancheomalacia’ yang memerlukan dia memakai alat bantuan penafasan,” katanya yang tidak dapat bekerja untuk membantu keluarga berikutan perlu menjaga anak yang sakit dan tiga lagi anaknya berusia 17 hingga lima tahun yang masih bersekolah. 

 

Wan Salmi Suhana berkata, anak ketiganya Akifa Naila, 5, turut menghidap asma.

 

“Kadang-kadang sehingga tiga orang anak terpaksa masuk wad. Keluar masuk hospital enam hingga tujuh kali adalah perkara biasa bagi anak saya untuk mendapatkan rawatan susulan.

 

“Walaupun saya ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Zakat Cawangan Subang Jaya, ia tidak mencukupi bagi menampung keperluan anak yang sakit. Suami kini bekerja sebagai pemandu Grab yang pendapatannya kurang daripada RM2,000 untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.

Menurut Wan Salmi Suhana, dia bukan saja terpaksa berbelanja kira-kira RM2,000 untuk kos susu khas dua anaknya itu, malah perlu menanggung kos tiub khas bagi saluran penafasan Danish Iman yang mencecah hingga RM900.

 

“Tiub penafasan Danish Iman sering bocor, perlu tukar RM900 setiap tiga hingga enam bulan. Mahal dan sukar untuk saya cari wang.

 

“Saya dah malu untuk meminta kepada jiran dan keluarga kerana kami suami isteri masih mempunyai kudrat untuk cari wang, tetapi dalam keadaan anak yang sakit dan sering keluar masuk hospital susah bagi saya nak dapatkan pekerjaan tetap untuk bantu suami,” katanya yang berterima kasih kepada JKM dan pusat zakat yang membantunya.

 

Menurutnya, kerana buntu dengan kesempitan yang dialami menyebabkan dia memuat naik status di laman Facebooknya untuk meminta bantuan.

 

“Saya tidak tahu macam mana cara lagi. Jika anda di tempat saya, pasti akan buntu.  

 

“Walaupun RM1, ia sangat membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya. 

 

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB Wan Salmi Suhana di nombor akaun 7602612700

 

 

 

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 10:24pm
d