utama

Misi balas dendam

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Muangthong United pada aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia di Bangkok, malam ini dianggap pertembungan buku dengan ruas.

Ini kerana JDT pasti mahu menebus kehampaan dua musim lalu selepas Muangthong menafikan kemaraan skuad Harimau Selatan apabila menang 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada aksi sebenar dan tambahan masa.

Apa pun pengendali JDT, Ulisses Morais enggan pemainnya terlalu tertekan apabila berdepan skuad kendalian Totchtawan Sripan, sebaliknya harus sentiasa fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah yang memungkinkan pasukan lawan ambil kesempatan.

“Kami membuat persiapan begitu rapi untuk berdepan Muangthong dan juga mengumpul maklumat mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan itu malah tidak dinafikan mereka memiliki kualiti di samping kelebihan pasukan itu beraksi di tempat sendiri.

“Ia perlawanan sukar buat JDT tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku kerana saya lihat pemain JDT tampak begitu bersemangat sepanjang latihan terakhir sebelum ke Bangkok dan sikap positif itu jelas memberi keyakinan kepada mereka bagi mengharungi perlawanan pusingan kedua kelayakan ACL.

“Persediaan kami untuk perlawanan itu berjalan lancar tanpa sebarang pemain mengalami kecederaan manakala penjaga gol, Haziq Nadzli juga sudah bersama kami selepas mengambil penerbangan dari China ke Bangkok, semalam,” katanya.

Morais juga menegaskan corak permainan Muangthong tampak gemar mengamalkan gerakan pantas dan mereka tahu untuk bertindak dengan gerakan di posisi sayap kiri dan kanan selepas mengkaji rakaman video aksi pasukan itu.

Beliau juga mengesahkan pemain kacukan Malaysia-Barbados, Le’Vere Corbing-Ong tidak bersama skuad itu selepas tidak dapat didaftarkan akibat masalah teknikal namun sudah ada pengganti yang mampu menggalas tugas di posisi pertahanan kiri.

“Kami juga tidak membawa beberapa pemain seperti Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan Adam Nor Azlin selepas mereka baru saja beraksi pada Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC.

“Muangthong tidak memenangi kejuaraan liga musim lalu tapi kami menang Liga Super dan ia akan memberi motivasi kepada pemain supaya turun dengan lebih mantap dan berusaha mengawal perlawanan bagi mencari kemenangan,” kata Morais.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 3:59am
d