utama

Aku pun dulu hidup susah

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Mulia dan berjiwa besar. Itu gelaran yang layak diberi kepada gadis yang sanggup berhabis wang ringgit dan tenaga untuk membantu golongan susah.

Penuntut jurusan pengurusan perniagaan kolej swasta di Kuala Lumpur, Nur Azwani Redzuan, bijak membahagikan masa antara pelajaran dan kerja amal yang dilakukannya.

Gadis berusia 21 tahun berasal dari Lukut ini mengakui mendapat inspirasi melakukan kerja amal itu kerana dia juga datang daripada keluarga kurang berkemampuan suatu ketika dulu.

“Pengalaman hidup membuatkan saya memahami perasaan golongan daif. Saya mula membantu golongan terbabit ketika berusia 16 tahun dengan menabung wang belanja sekolah untuk membeli barangan keperluan dan diberikan kepada orang susah.

“Niat saya ikhlas mahu membantu mereka yang memerlukan, walaupun dengan sedikit bantuan, hati saya rasa puas dan lega.

“Alhamdulillah, usaha saya mendapat perhatian ramai pihak apabila mereka juga menghulurkan sumbangan untuk saya agihkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Parit, Lukut di sini, semalam.

Anak kedua daripada tiga beradik itu ditemui ketika membantu membaik pulih rumah usang dihuni Mazlan Idris, 48, bersama keluarganya yang rosak teruk.

Nur Azwani yang lebih mesra dipanggil Wani berkata, selain membantu dari segi barangan keperluan dan wang ringgit, dia kini giat membantu membaik pulih rumah penduduk yang kesusahan.

Dia meminta bantuan ramai pihak terutama ahli perniagaan selain membuat hebahan di Facebook (FB) untuk mendapatkan dana bagi melakukan kerja baik pulih rumah.

“Selepas wang mencukupi, saya membeli barang yang diperlukan dan membuat hebahan di FB mengajak orang ramai menjadi sukarelawan membantu saya membaiki rumah penduduk.

“Semuanya saya lakukan sendiri. Kebiasaannya kerja itu dilakukan ketika hujung minggu dan cuti semester. Walaupun sibuk dengan pelajaran, saya tetap mahu membantu, jika tidak dapat membantu hati tidak tenteram.

“Saya tidak akan berhenti membantu mereka yang memerlukan bantuan walaupun pernah dikecam sesetengah pihak yang tidak senang dengan aktiviti yang saya lakukan itu,” katanya.

Katanya, pelbagai kecaman diterima di FB termasuk menuduhnya mengambil kesempatan untuk mendapatkan wang selain menipu, tetapi dia tetap menguatkan azam untuk meneruskan kerja amalnya itu.

Sementara itu, isteri Mazlan, Suparti Lamin, 34, berkata, dia bersyukur apabila Wani berjumpanya menyatakan hasrat untuk membantu membaik pulih rumahnya yang usang.

“Memang saya tidak mampu kerana gaji suami hanya cukup menampung keperluan harian kami sekeluarga. Usaha Wani mengumpulkan dana amat saya hargai.

“Saya sedih apabila mengetahui Wani yang berhati mulia membantu orang susah dikecam. Bukan saja dia, malah kami juga dicemuh masyarakat setempat yang tidak senang dengan bantuan diterima. Saya hanya mampu menasihatkannya supaya bersabar,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 4:55am
d