utama

Tarik diri sertai kempen L'Oreal

Oleh AFP

London: Model British, Amena Khan yang dipilih oleh L’Oreal untuk muncul dalam kempen pengiklanan produk itu di Britain, menarik diri susulan dakwaan dia memuat naik kenyataan anti-Israel dalam beberapa siri tweet lamanya di Twitter.

Syarikat kosmetik gergasi Perancis itu minggu lalu memilih Amena sebagai wanita berhijab pertama untuk kempen arus perdana iklan syampu mereka.

Status yang ditulisnya dalam Twitter pada 2014 itu sudah dipadam.

Amena menerusi Twitternya kelmarin berkata: “Saya amat menyesal dengan kandungan tweet yang ditulis pada 2014 itu dan memohon maaf atas akibat daripada perbuatan itu.

“Dengan penuh penyesalan, saya memutuskan menarik diri kerana bimbang ia akan memberi kesan kepada mesej positif yang mahu disampaikan dalam kempen terbabit.”

Sehubungan itu kumpulan L’Oreal yang dihubungi AFP berkata, mereka menerima keputusan Amena.

“Kami menghargai tindakan Amena memohon maaf berhubung kandungan dalam tweetnya dan terhadap reaksi yang timbul,” katanya.

Ini bukan kali pertama kempen L’Oreal untuk mempromosikan kepelbagaian gagal kerana komen kontroversi dibuat modelnya di media sosial.

Musim panas lalu, kumpulan itu menggugurkan model transgender kulit hitam British, Munroe Bergdorf kerana memuat naik status di laman Facebook menuduh orang kulit putih melakukan keganasan kaum.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 4:01am
d