utama

20 kali dikacau api

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: “Saya sudah buntu memikirkan kejadian misteri yang berlaku di rumah kami sejak Disember lalu. Lebih 20 kali kami diganggu misteri ini termasuk kejadian tilam yang tiba-tiba terbakar tanpa sebab,” kata Mohd Zamri Sulaiman, 53, dari Rumah Awam Kos Rendah Bukit Payung di sini.

Beliau berkata, pelbagai kejadian misteri menghantui mereka sekeluarga dan terbaru, dia melihat baju yang disusun di atas almari dicampak keluar secara tiba-tiba hingga memaksanya mendapatkan khidmat pengamal perubatan Islam untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Saya tinggal di rumah ini sejak tiga tahun lalu tetapi kejadian itu menghantui kami bermula Disember sehingga memaksa isteri (Wan Nora Wan Abdullah, 46) dan anak (Nor Shariah, 11) menumpang teduh di rumah saudara terdekat ketika ini.

“Isteri dan anak saya trauma dengan kejadian pelik yang berlaku di rumah serta takut untuk tinggal di rumah itu tetapi pada masa sama kami tidak boleh berpindah kerana terikat dengan kontrak selama setahun dengan pemilik rumah berkenaan.

“Kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan saya sendiri kali pertama melihat kejadian misteri di depan mata,” katanya yang bekerja sebagai buruh.

Menurutnya, dia dibantu saudara dan jiran sudah mendapatkan khidmat 10 pengamal perubatan Islam tetapi hingga kini masalah itu tidak selesai, malah semakin menjadi-jadi.

Menurutnya, kejadian misteri itu mula berlaku di dalam rumahnya apabila beras di dalam bekas seperti sengaja ditumpahkan ke lantai sambil dicampurkan dengan gula, rempah, bawang, telur dan ubat-ubatan.

“Sekarang kami menggunakan kaedah perubatan tradisional dengan menabur lada hitam dan garam yang dibacakan dengan ayat al-Quran di dalam rumah tetapi ia sekadar meredakan keadaan dan tidak menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 5:53am
d