utama

Kaki remaja disambung terbalik

Oleh Agensi

Belfast (Ireland Utara): Seorang remaja yang kehilangan sebelah kaki akibat kanser kini berharap mampu berlari semula selepas kaki itu disambung dalam keadaan terbalik.

Tristin Stewart, 15, disahkan menghidap sejenis kanser tisu di kaki kanannya pada Jun tahun lalu dan memerlukan kakinya dipotong dari paras lutut.

Keadaan itu menyebabkan dia cacat dan sukar untuk bergerak walaupun memakai kaki palsu.

Bagaimanapun, doktor memilih satu pembedahan dikenali sebagai rotationplasty di mana kaki yang dipotong itu dibuang lutut dan tulang kering sebelum disambung semula dalam keadaan terbalik.

Pembedahan itu membolehkan doktor membina sendi lutut menggunakan tapak kaki pesakit, sekali gus memudahkan pesakit berjalan atau berlari menggunakan kaki palsu.

Stewart yang tinggal di County Tyrone kini memiliki kaki palsu yang disambung pada kaki dan dia kini mula belajar berjalan.

“Saya tidak kisah mengenai rupa kaki saya. Apa yang saya tahu, saya mahu berlari semula dan percaya saya mampu lakukan,” katanya kepada The Mirror.

Ibunya, Mandy, 32, berkata, anaknya sangat berani sepanjang proses rawatan sehinggalah dia diberitahu kakinya perlu dipotong.

“Tidak boleh bermain bola sepak atau sebarang sukan memusnahkan hidupnya. Dia seorang yang aktif.

“Apabila kali pertama melihat kakinya yang disambung semula kami sangat terkejut tetapi kini kami boleh membiasakan diri,” jelasnya.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 2:45am
d