utama

Ambil dadah: Farid Kamil tak mengaku salah

Oleh Murni Wan Omar dan Najiy Jefri

PELAKON, Datuk Farid Kamil Zahari, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, atas pertuduhan menggunakan dadah jenis THC, dua minggu lalu.

Farid Kamil membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Farid Kamil didakwa atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, 4.30 petang, 11 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, Farid Kamil didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan diwakili peguam Athari Bahardi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik.

Mahkamah membenarkan Farid Kamil diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan pasport Farid Kamil diserahkan kepada mahkamah.

Terdahulu, Farid Kamil tiba di perkarangan mahkamah 9 pagi. Bagaimanapun, dia berada dalam kereta sehingga dibawa ke kaunter pendaftaran kes oleh pegawai polis, 10.30 pagi.

Selesai pendaftaran, Farid Kamil yang turut ditemani adiknya, Fadzil, dibawa naik ke Mahkamah Majistret 1 untuk pendakwaan.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 11:58am
d