utama

'Hubungan kami baik'

Oleh Najiy Jefri

“HUBUNGAN saya dengan isteri dan anak-anak masih baik dan tiada masalah antara kami,” kata pelakon Datuk Farid Kamil, 37, mengenai hubungan dengan isterinya, Datin Diana Danielle.

Farid ketika ditemui di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebentar tadi bersyukur isteri dan kedua-dua anaknya, Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3, tidak berhenti memberi sokongan dan mendoakan kesejahteraannya.

“Alhamdulillah saya bersyukur ada isteri dan anak-anak yang tak henti mendoakan agar urusan saya dipermudahkan. Saya juga sudah bertemu anak-anak,” katanya ringkas.

Mengenai laporan yang dibuat di Balai Polis Brickfields pada 18 Januari lalu untuk mengambil barang di rumahnya (di Damansara), Farid enggan mengulas lanjut.

“Maaf saya masih dalam prosiding mahkamah. Saya tidak boleh mengulas lanjut. Kita sambung kemudian,” katanya.

Sebelum ini timbul desas-desus mengatakan rumah tangga mereka bermasalah apabila Farid membuat laporan pada 18 Januari lalu untuk mengambil barang di rumahnya.

Terdahulu Farid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebentar tadi atas pertuduhan penggunaan dadah jenis THC, dua minggu lalu.

Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Farid didakwa atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan di Pejabat Narkotik Polis Petaling Jaya, jam 4.30 petang, 11 Januari lalu.

Mahkamah membenarkan Farid diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah juga memerintahkan pasport Farid diserahkan kepada mahkamah.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 1:45pm
d