utama

Ikut jejak Vietnam

Oleh Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan pasukan kendaliannya berada di landasan sama dengan Vietnam yang melakar kejutan pada Kejohanan B-23 AFC.

Vietnam mengejutkan beberapa pasukan gergasi termasuk Iraq dan Qatar dalam laluan mara ke final kejohanan yang sedang berlangsung di China dan berdepan Uzbekistan, esok.

Justeru, Kim Swee berkata, kesungguhan dan disiplin tinggi yang dipamerkan barisan pemain Vietnam sepanjang kejohanan itu wajar dijadikan contoh terbaik kepada pemain negara untuk terus mencipta kejayaan pada masa akan datang.

“Ya (kami sedang mengikut jejak Vietnam) dan kami sudah membuktikannya, cuma ia masih belum mencukupi kerana kami harus berusaha lagi.

“Walaupun kami sedar sememangnya Vietnam mempunyai pemain berkualiti, pantas dan teknik yang bagus dan pada kejohanan itu (B-23 AFC) mereka bermain dengan cukup baik.

“Tanpa disiplin tinggi saya percaya Vietnam tidak mampu layak ke final dan anda tidak boleh nafikan pemain mereka menunjukkan kesungguhan pada tahap terbaik dan harus dicontohi pemain negara,” katanya semalam.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar percaya skuad kendalian Kim Swee yang terkandas pada suku akhir apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan juga mampu untuk melakar kejutan dalam kejohanan besar seperti yang dilakukan Vietnam.

Malah, Khairy menjelaskan Kementerian Belia dan Sukan sedia memberi sokongan termasuk dari aspek sains sukan bagi memastikan misi skuad negara layak ke Olimpik Tokyo 2020 tercapai.

Sehubungan itu, Kim Swee menganggap kenyataan Khairy itu sebagai perkembangan positif buat skuad negara dalam mencipta kejayaan lebih manis.

“Terima kasih kepada Khairy, tapi paling penting adalah perancangan awal buat pasukan. Walaupun Sukan Olimpik akan berlangsung pada 2020, tapi kami perlu lakukan persiapan cukup rapi.

“Adanya bantuan daripada KBS, saya rasa dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kerana perancangan yang teliti memerlukan banyak perbelanjaan.

“Bukan saja aspek sains sukan, tapi banyak lagi yang boleh dilakukan untuk persiapan dari awal hingga ke pusingan kelayakan Olimpik Tokyo,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 2:42am
d