utama

'Waran maut'

Oleh AFP

Michigan (Amerika Syarikat): Bekas doktor pasukan gimnastik Amerika Syarikat (AS) Larry Nassar yang sebelum ini dijel 60 tahun atas tuduhan porno kanak-kanak, semalam dihukum penjara 40 hingga 175 tahun kerana mencabul puluhan wanita kononnya ketika memberikan rawatan kepada mereka.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Rosemarie Aquilina berkata: “Apa yang saya berikan umpama waran kematian kamu. Kamu tidak patut berada di luar penjara langsung selepas ini.

“Kamu satu ancaman dan sentiasa akan mengancam golongan yang lemah ke mana saja kamu pergi.”

Sebelum dijatuhkan hukuman, Nassar, 54, memohon maaf kepada mangsanya yang turut termasuk pemenang pingat emas Olimpik, Simone Biles, Aly Raisman, Gabby Douglas dan McKayla Maroney, malah turut merangkumi puluhan atlet wanita lain di Universiti Michigan State tempat dia bertugas.

“Apa yang saya rasakan sekarang tidak mungkin sama dengan kesakitan, trauma dan kehancuran emosi kamu semua. Saya tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata betapa kesalnya saya dengan apa yang berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Rosemarie mencemuh kenyataannya sebaliknya membacakan surat Nassar sebelum ini yang walaupun mengaku salah, masih menegaskan kononnya dia memberi rawatan sahih.

“Ia bukannya rawatan dan bukannya perubatan. Saya tidak akan menghantar anjing saya sekalipun kepada kamu,” katanya.

Sejak seminggu lalu, kira-kira 160 wanita hadir ke mahkamah atau memberi keterangan bertulis untuk merahsiakan identiti menceritakan pengalaman didera secara seksual oleh tertuduh, manakala Nassar sendiri dilihat sekali-sekali mengesat air mata.

Nassar dipenjara 60 tahun pada Disember lalu atas tuduhan memiliki dan mendapatkan bahan lucah kanak-kanak. Dia kemudian mengaku salah atas 10 tuduhan tambahan perlakuan seksual jenayah dan dipenjara kelmarin atas tujuh daripada tuduhan berkenaan, manakala selebihnya akan dihukum pada tarikh lain.

Antara saksi yang memberi keterangan, Rachael Denhollander berkata, dia dicabul walaupun ibunya berada dalam bilik rawatan kerana tidak menyedari perbuatan Nassar sebenarnya salah berikutan percaya ia sebahagian rawatannya.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 2:55am
d