utama

Alhamdulillah Jihan timang baby boy

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENGACARA Jihan Muse selamat bersalin anak lelaki di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor, jam 10.15, malam tadi.

Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa, 35, melahirkan bayi seberat 3.85 kilogram itu secara pembedahan.

"Kelmarin, saya sudah rasa nak bersalin. Tetapi saya relax lagi. Saya buat biasa saja dan sempat makan malam dengan pengurus. Jadi, pagi semalam saya pergi juga hospital untuk buat pemeriksaan tetapi doktor suruh pulang sebab belum ada bukaan.

"Namun, pada tengah hari semalam saya rasa sakit dan pergi semula ke hospital. Selepas diperiksa dan sudah ada bukaan, saya terus dimasukkan wad.

"Alhamdulillah, saya selamat bersalin biarpun melalui proses pembedahan. Saya bersyukur Allah permudahkan segala urusan. Terima kasih kepada semua yang tidak berhenti mendoakan saya," katanya kepada Harian Metro.

Jihan berkata, dia mengalami demam dan perlukan sedikit rehat.

Sementara itu, wakil syarikat pengurusannya, Laugh Out Loud Entertainment, Afeeq Abd Wahab dalam satu kenyataan memaklumkan Jihan akan berehat selama dua bulan daripada aktiviti seni bagi memberi tumpuan terhadap keluarga.

"Jihan dan bayinya dalam keadaan baik dan sedang berehat. Memandangkan ini kelahiran sulungnya, Jihan akan menumpukan perhatian sepanjang tempoh itu.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan terdekat, media serta peminat," katanya.

Terdahulu, Jihan dan suami, Ungku Hariz, 32, mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 11:46am
d