utama

Kesian dia..

Oleh Nur Saliawati Salberi

KANAK-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan lebih 30 minit selepas kaki kirinya tersangkut di dalam lubang saluran air, dalam kejadian di Taman Bachang Baru, semalam.

Kejadian kira-kira 6.15 petang itu disedari ibu kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan berkenaan yang baru pulang dari kerja apabila mendapati anaknya itu berada di dalam bilik air.

Difahamkan, semasa kejadian kanak-kanak lelaki itu tinggal di rumah bersama neneknya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.24 petang, lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kaki kanak-kanak lelaki itu tersangkut di dalam lubang salur air PVC di bilik air sehingga ke paras paha, sedalam kira-kira 20 sentimeter.

“Mangsa yang menangis ditenangkan oleh ibunya bagi melancarkan operasi mengeluarkan kakinya oleh pasukan bomba,” katanya.

Beliau berkata, pihak bomba terpaksa menggali saluran berkenaan menggunakan peralatan khas paratech.

“Kerja menyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum kaki kiri kanak-kanak berkenaan berjaya dikeluarkan.

“Kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dia kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 1:57pm
d