utama

Rentung sambil memeluk erat beg sekolah

Oleh Fardy Bungga

“DIA cucu yang rajin dan sangat suka pergi ke sekolah. Malah, dia sangat teruja memasuki Tahun Satu sehinggakan mayatnya ditemui dengan keadaan memeluk erat beg sekolah," kata Mohd Azmi Raji, 51, datuk kepada Siti Halaidah, 7, kanak-kanak yang rentung selepas rumah didiami 10 sekeluarga terbakar di di Kampung Tembongon, Putatan, dekat Penampang, hari ini.

Pada kejadian 3.30 pagi itu, mayat Siti Halaidah ditemui berhampiran dengan pintu keluar tingkat bawah rumahnya.

Kebakaran turut memusnahkan tiga lagi rumah bersebelahan dengan kediaman itu.

Ibu kanak-kanak itu, Siti Sarta Mohd Azmi, 26, juga melecur 50 peratus pada badannya dan kini masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) Kota Kinabalu.

Menceritakan kejadian, Mohd Azmi yang juga buruh binaan berkata, dia tersedar daripada tidur selepas terasa bahang panas.

Katanya, ketika itu, dia turut terdengar bunyi rekahan kayu yang dimamah api.

Menurutnya, sebaik membuka mata, dia melihat api sudah membakar hampir keseluruhan siling tingkat bawah rumahnya.

"Saya segera mengejutkan isteri sebelum naik ke tingkat atas untuk mengarahkan tiga anak serta lima cucu kami untuk segera keluar daripada rumah.

"Api sudah terlalu besar. Saya terpaksa menahan bahang api yang panas kerana mahu menyiram air di pintu keluar untuk memudahkan anak dan cucu-cucu keluar ke tempat selamat," katanya yang turut melecur di bahagian belakang badan.

Lelaki itu berkata, dia baru sedar Siti Halaidah tidak berada bersama-sama ahli keluarga apabila mereka berjaya keluar dari rumah itu.

Katanya, dalam keadaan panik, mereka beberapa kali cuba masuk semula ke dalam rumah, namun tidak berjaya kerana api sudah terlalu besar.

Menurutnya, Siti Sarta kemudian nekad untuk meredah api dan masuk ke dalam rumah yang terbakar untuk mencari Siti Halaidah.

"Bagaimanapun, dia gagal menemui anaknya itu kerana api sudah marak," katanya.

Mohd Azmi berkata, dia amat sedih dengan kejadian itu memandangkan Siti Halaidah amat rapat dengannya.

"Saya dan isteri yang menjaganya setiap hari apabila Siti Sarta bekerja sebagai pembantu kedai kraf di pusat bandar raya," katanya sambil mengalirkan air mata.

Menurutnya, mereka sudah kehilangan segala-galanya dan kini terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga lain untuk meneruskan hidup mereka.

Difahamkan, mayat Siti Haialdah yang juga anak sulung daripada lima beradik dihantar ke HQE 1 untuk bedah siasat.

Berita berkaitan

Sebaknya, kanak-kanak 7 tahun rentung

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 3:48pm
d