utama

Dua tahun menyepi demi isteri

Oleh Nor Akmar Samudin

Pelakon dan pelawak, Zaibo, 62, sanggup mengetepikan keinginan hatinya untuk berlakon dua tahun lalu demi memberi laluan kepada isterinya, Siti Hawa Sawal, 52, merasai pengalaman menjadi wanita berkerjaya.

Menurutnya, sejak muda sehinggalah mereka berkahwin tujuh tahun lalu, tumpuan isterinya hanya pada keluarga dan sembilan anaknya.

Selepas berkahwin, Zaibo menetap di kampung isterinya di Rengit, Batu Pahat.

“Atas persetujuan bersama, saya izinkan dia bekerja dan saya pula menjaga rumah tangga. Sebab itu selama dua tahun ini saya menyepi daripada dunia lakonan. Selama 32 tahun jadi anak seni, saya sudah dapat segalanya, jadi sekarang saya beri peluang kepada isteri untuk menjadi wanita berkerjaya dan peluang itu juga baru datang sekarang.

“Mulanya isteri berbelah bahagi nak tinggalkan anak sendirian di rumah, jadi biarlah saya berkorban dengan mengambil tugasnya sebagai ibu kerana adakala isteri perlu ‘oustation’ beberapa hari. Mungkin juga tiba masanya saya kena perlahankan rentak dalam bidang seni,” katanya.

Ujar Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abdul Hamid, apabila isterinya menghadapi pengalaman baru di luar rumah, dia juga melalui pengalaman baru menjaga anak tirinya. Mereka panggilnya ayah.

“Empat anak sudah besar. Tiga sudah berkahwin dan seorang lagi juga bakal berumah tangga. Saya sudah bercucu. Mereka tinggal di rumah sendiri. Lima lagi yang tinggal bersama kami berusia 10 hingga 17 tahun dan semuanya masih bersekolah.

“Dengan ketiadaan isteri di rumah, saya jadi ‘lipas kudung’. Selepas Subuh, sediakan sarapan, hantar dan ambil anak dari sekolah, ke pasar, memasak, menyapu, membasuh dan melipat kain. Apa isteri buat, saya buat, tetapi isteri pesan, buat yang termampu saja,” katanya.

Cerita Zaibo lagi, dia tidak menyangka sama sekali akan berkahwin pada usia 54 tahun. Dia ingat akan hidup membujang selamanya.

“Jodoh itu datang tanpa disangka dan terus dapat ‘anak segera’. Saya tidak pernah jadi bapa dan tiba-tiba kena menyesuaikan diri sebagai suami dan bapa kepada anak yang masih kecil serta hidup sebagai orang kampung. Dulu pernahlah jaga anak

saudara sekejap tetapi waktu itu ada pembantu rumah, sekarang semua saya buat sendiri.

“Dulu katil besar tidur sorang-sorang, sekarang anak yang melompat naik atas katil dulu. Bagaimanapun, selama tujuh tahun berkahwin saya gembira kerana hidup saya terisi terutama melihat keletah anak. Jadi orang kampung dan menjadi diri saya sendiri, tak perlu nak bergaya sangat. Kadang-kadang berkain pelekat dan bersinglet saja,” katanya.

Jalani penggambaran drama

Rengit pekan kecil, jadi semua orang kenal Zaibo dan tahu rumahnya di mana.

“Pasar Rengit ada juga didatangi orang dari daerah lain dan mereka akan bergambar dengan saya,” katanya.

Menurut Zaibo lagi, apabila ada masa barulah dia berhubung dengan rakan artis di Kuala Lumpur dan ada ketika rindu menyertai aktiviti persatuan bersama mereka bertamu di hati.

“Bukan semua perkara yang kita mahu Allah SWT akan bagi. Dia lebih tahu apa yang baik untuk kita, jadi saya jalani saja kehidupan ini.

“Rakan seusia saya sudah relaks tetapi saya pula masih ada anak kecil. Itulah ketentuan Allah SWT yang kita tak tahu tetapi saya gembira kerana dulu masa bujang kawan suka mengusik.

“Mereka takut saya meninggal dunia di rumah orang tua kerana tiada anak isteri. Alhamdulilah, meskipun jodoh saya lambat, saya sudah ada keluarga yang akan menjaga saya nanti,” katanya.

Terkini, kebetulan isterinya bercuti lama, sudah tiga minggu Zaibo berada di Kuala Lumpur menjalani penggambaran drama 19 episod berjudul Melankolia.

“Lama tak berlakon terasa kekok. Habis saja penggambaran saya terus balik kampung. Rindu rumah, kampung, isteri dan anak,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 2:28am
d