utama

Curah petrol tagih cinta

Oleh Mohd Rizal Abdullah

Simunjan: Seorang lelaki yang dipercayai menghadapi masalah peribadi dengan kekasihnya membakar diri sendiri menggunakan petrol dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sageng di sini, pagi semalam.

Lelaki berusia berusia 24 tahun itu melakukan perbuatan itu di rumah kekasihnya dan didakwa mencurah petrol diambil dari motosikalnya ke bahagian belakang badannya sebelum menyalakan api untuk membakar diri.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 9.30 pagi, penduduk kampung yang menyedari perbuatan lelaki terbabit sempat menyelamatkannya namun 30 peratus badan mangsa melecur akibat tindakannya itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.42 pagi.

Menurutnya, sebaik sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan tiba ke lokasi, mangsa dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Lot di sini, berhampiran lokasi kejadian.

“Pemeriksaan mendapati belakang badan mangsa melecur 30 peratus. Mangsa dihantar ke Hospital Simunjan untuk rawatan.

“Kami ke rumah kekasih lelaki terbabit untuk pemeriksaan dan mendapati hanya lantai rumah yang terbakar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, setakat ini punca sebenar kejadian itu belum ketahui.

Difahamkan, ketika kejadian, penduduk kampung yang menyedari perbuatan mangsa itu mencurah air pada lelaki terbabit bagi memadam api di badannya.

Lelaki terbabit pulang ke rumahnya menaiki motosikal Modenas Kriss 120 miliknya.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 5:46am
d