utama

'Hari-hari tanya nama'

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Hati isteri mana yang tidak remuk apabila suami yang dinikahi lebih empat tahun tidak lagi mengenali dirinya selepas hilang ingatan akibat kemalangan jalan raya, Mei lalu.

Sepanjang lapan bulan, Siti Rahayu Ibrahim, 28, tabah menjalani hari suram bersama dua anak kecil berusia setahun serta enam tahun menemani suami tercinta Muhamad Ridhwan Mohd Zaki, 27, yang terlantar.

Setiap hari Siti Rahayu tidak pernah jemu merangsang daya ingatan suaminya yang terlantar dengan menunjukkan gambar serta bercerita kenangan mereka sekeluarga.

“Suami saya koma hampir enam bulan dan doktor mengesahkan kes macam suami saya ini hayatnya boleh bertahan antara 10 hingga 15 tahun saja.

“Hanya Allah saja tahu perasaan saya apabila suami tidak ingat siapa saya, tetapi saya positifkan diri cuba memulihkan ingatannya dengan menunjukkan kad nikah, gambar perkahwinan dan kami anak beranak serta mengimbau beberapa kenangan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, dia juga berikhtiar mengajar suaminya menyebut nama Allah, berzikir dan membaca al-Fatihah, selain beberapa perkataan dan tarikh penting bagi memulihkan ingatan lelaki itu.

“Hari-hari saya tanya siapa nama dia serta saya dan anak-anak dan tarikh perkahwinan kami supaya dia dapat ingat balik.

“Anak sulung saya juga tidak pernah jemu setiap hari akan duduk di sisi ayahnya untuk berborak dan memberi kata perangsang supaya ayahnya cepat sembuh walaupun suami saya tidak pernah membalas setiap kata-katanya,” katanya.

Kisah pengorbanan Siti Rahayu yang setia menjaga dan tidak jemu mengembalikan ingatan suaminya dengan pelbagai ikhtiar mendapat perhatian netizen apabila dia kerap memuat naik status dan video di laman Facebooknya setiap hari.

Katanya, sejak 268 hari lalu dia berkongsi setiap perkembangan suaminya dan meluahkan isi hatinya sebagai seorang isteri yang ditimpa ujian berat itu.

“Niat saya untuk meluahkan apa yang terbuku sebab tiada siapa bersama saya kerana keluarga duduk berjauhan.

“Saya harap semua coretan mengenai pengorbanan dan keperitan saya sebagai isteri menunggu suami sembuh dapat dibaca suami saya suatu hari nanti,” katanya.

Siti Rahayu berkata, dia menjalankan perniagaan atas talian dengan menjual tudung, pakaian, kasut dan barangan kecantikan untuk menampung perbelanjaan bulanan.

“Sebelum ini hanya suami seorang bekerja sebagai juruteknik elektrik, tetapi sejak dia terlantar saya berniaga atas talian. Dalam sebulan dapatlah RM500 hingga RM600.

“Sejak November lalu, saya mula mengeluarkan produk minuman kesihatan sendiri selepas dibantu seorang kenalan berpengaruh, walaupun tidak banyak keuntungan kerana pembelian bermusim, dapat menambah pendapatan menampung perbelanjaan bulanan kami.

“Perbelanjaan lampin pakai buang dan susu khas suami mencecah RM1,500, selain RM450 kos ambulans membawa suami ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian setiap bulan bagi menerima rawatan,” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 dan bantuan perubatan selama setahun daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjumlah RM200.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 6:00am
d