utama

Tegur aje, kena tembak pula

Oleh Mohd Rizal Abdullah

TIGA lelaki cedera selepas terkena tembakan senapang patah oleh lelaki di restoran di Jalan Penrissen, Kuching, 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa mengenali suspek berusia 30 tahun itu kerana menginap di hostel sama berhampiran restoran itu.

"Suspek dipercayai tidak berpuas hati apabila ketiga-tiga mangsa dan seorang penyelia di hostel berkenaan menegur suspek kerana cuba membuat kecoh di hostel itu, sebelum itu.

"Ia berpunca apabila berlaku salah faham antara suspek dan teman wanita," katanya

Menurutnya, semua mangsa sedang minum di restoran berkenaaan apabila didatangi suspek.

"Suspek kemudiannya melepaskan tembakan menggunakan senapang patah sebelum melarikan diri menaiki kereta.

Seorang mangsa berusia 47 tahun terkena tembakan di perut dan kaki, seorang lagi mangsa berusia 42 tahun cedera di kaki kanan, manakala mangsa ketiga cedera di kaki kiri.

Semua mangsa kini dirawat di Hospital Umum Sarawak(HUS), katanya.

Katanya, identiti suspek dikenal pasti sebagai Patrick Buddy Siam, 30, dari Rumah Antas, Skrang, Sri Aman dan dia kini diburu polis

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menghubungi balai terdekat," katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 6:28pm
d