utama

Peluang Kilafairy

Oleh Ramlah Zainal

Penyanyi jelita Kilafairy melakar sejarah tersendiri apabila berduet dengan penyanyi antarabangsa, Sean Kingston menerusi lagu Put The Word In yang dirakamkan pada Jun tahun lalu.

Kilafairy, 25, yang juga anak penyanyi era 1980-an, Rohana Jalil ini juga mahu mengikut jejak penyanyi Yuna dan Mizz Nina yang pernah bekerjasama dengan Usher dan Colby O’Donis sebelum ini.

Projek duet Kilafairy dan Kingston itu turut menampilkan DJ Aku Ash selaku komposer manakala liriknya oleh Bryn B dan Radio3000.

Lebih bermakna, sejak dilancarkan menerusi medium penstriman muzik pada 19 Januari lalu, Put The Word In sudah berada di tangga keempat Spotify Malaysia dan tangga 30 Spotify di Singapura.

Lagu duet itu juga berjaya menembusi Carta iTunes di beberapa negara seperti Indonesia, Taiwan, Filipina dan Belgium.

Kilafairy berkata, dia tidak menyangka lagu itu mendapat sambutan ramai.

“Saya menyanyikan lagu itu dengan penuh keikhlasan. Saya berharap kerjasama dengan Kingston sebagai platform untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya akui tarian dalam lagu ini seksi dan akan menjadi kritikan netizen tetapi saya pastikan tarian itu tidak keterlaluan ketika buat persembahan di sini,” katanya.

Gementar ketika proses rakaman bersama Kingston

Bercerita pengalaman bekerja dengan penghibur berdarah Amerika Syarikat-Jamaica itu, Kilafairy mengakui dia gementar ketika proses rakaman di studio.

“Kingston juga berkunjung ke Malaysia untuk proses rakaman lagu duet ini di studio tempatan. Dia berada sehari saja di studio. Ketika proses rakaman, dia beritahu lagu itu sesuai dengan vokal dan personaliti saya. Saya mengambil masa dua hari untuk proses rakaman lagu ini,” katanya.

Ditanya perancangan membawa lagu duet itu ke peringkat antarabangsa, kata Kilafairy, dia serahkan kepada pengurusannya, Lion Music Group (LMG).

“Saya memang meminati lagu genre R&B dan hip hop dan baru sekarang ia dapat direalisasikan menerusi pengurusan.

Pihak pengurusan ada perancangan untuk mengadakan promosi lagu ini ke Amerika Syarikat termasuk diputarkan di stesen radio di sana. Pihak kami akan cuba yang terbaik untuk mempromosikan lagu ini ke peringkat antarabangsa,”katanya.

Kali terakhir Kilafairy menghasilkan single menerusi lagu berjudul Setia, dua tahun lalu.

Selain itu, dia pernah terbabit dengan projek khas lagu runut bunyi filem popular antarabangsa, Dilwale, versi Melayu berjudul Warna Cinta.

“Saya juga ada perancangan untuk menghasilkan lagu solo genre ballad pula nanti,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya lakonan, pelakon filem Karak ini berkata, buat masa ini dia menghabiskan penggambaran projek drama yang sudah dipersetujui lebih awal.

“Saya juga ingin memberi fokus pada kerjaya nyanyian pada tahun ini,” katanya.

Antara drama lakonannya ialah drama 30 episod, Mr Delicious yang sudah bersiaran di saluran Hypp TV.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 10:04am
d