utama

Abang Sado puas bina otot

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuching: Niat anak kelahiran Sri Aman, Sarawak ini pada mulanya hanya untuk mendapatkan badan sado, namun tanpa disangka ia menjadi titik tolak kepada Buda Anchah, 46, mengharumkan nama Malaysia dalam sukan bina badan.

Bermula di gimnasium rakyat di Butterworth, Pulau Pinang sebaik tamat latihan rekrut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 24 tahun lalu, Buda kini bukan nama asing dalam sukan bina badan di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Menurut pemegang pingat emas yang membawa gelaran Mr Asia kategori 70 kilogram (kg) dan gangsa kategori Masters dalam Pertandingan Bina Badan Asia di Korea Selatan September lalu, apa yang diperolehnya kini menjadi kepuasan dan pencapaian peribadi yang cukup membanggakan.

Sepanjang berkecimpung dalam sukan ini, sekurang-kurangnya 250 pertandingan bina badan di dalam mahupun pentas antarabangsa disertai Buda dengan kebanyakan daripadanya berjaya mendapat tempat lima terbaik.

Bergelar Mr Asia tiga kali dan Mr Universe dua kali itu, Buda berkata, dia pada mulanya kerap bersenam di gimnasium rakyat hanya untuk meningkatkan stamina sebagai anggota tentera.

Menurutnya, melihat potensinya untuk bersinar dalam sukan bina badan, seorang rakan menawarkan diri untuk berlatih bersama dan berusaha membentuk otot badan supaya mendapat susuk yang sesuai diperagakan dalam pertandingan bina badan.

“Rutin harian bermula seawal jam 6 pagi dan saya menghabiskan sekurang-kurangnya enam jam sehari masing-masing tiga jam sebelah pagi sebelum disambung tiga jam lagi di sebelah petang.

“Tidak mudah mendapatkan bentuk badan seperti yang saya miliki sekarang kerana pemakanan seimbang selain mendapatkan makanan tambahan membolehkan otot dihasilkan dengan baik,” katanya.

Buda berkata, usaha kerasnya mula menampakkan hasil selepas dipilih sebagai Mr Penang ketika menyertai pertandingan di Pulau Mutiara pada 1996.

Katanya, bertitik tolak dari situ, dia menyertai Pertandingan Bina Badan Kebangsaan dan merangkul gelaran Mr Malaysia bermula 2000 hingga 2006.

“Melihat potensi untuk terus cemerlang dalam sukan ini, saya ditawarkan menjadi atlet mewakili negara di pentas antarabangsa dalam Sukan SEA di Korat, Thailand pada 2007. Pada Sukan SEA di Myanmar pada 2013, saya meraih gangsa.

“Apabila bergelar atlet negara, latihan dan pemakanan saya dipantau rapi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) supaya konsisten dalam sukan ini,” katanya yang juga pesara Pegawai Waren 1 Udara di Kem TUDM Kuala Lumpur, Sungai Besi.

Pelbagai pencapaian diraihnya sepanjang bergelar atlet negara seperti mendapat tempat keempat bagi kategori 70kg dan tempat kelima dalam Kejohanan Bina Badan Dunia ke-9 berlangsung di Mongolia, Oktober lalu.

Bapa kepada dua anak itu berkata, tiada apa yang lebih membanggakan dirinya apabila mendengar lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang dinaikkan di pentas antarabangsa setiap kali memenangi kejohanan.

“Kini, saya menyasarkan untuk bergelar Mr Universe bagi kali ketiga yang bakal berlangsung di Chiang Mai, Thailand, Disember ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 5:42am
d