utama

Orang buruan mati terjun

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang penjenayah dikehendaki bertindak nekad terjun dari tingkat tiga pangsapuri didiami di Sri Petaling di sini, selepas menyedari cuba diberkas polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, suspek lelaki berusia 34 tahun terbabit bagaimanapun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Difahamkan lelaki itu diburu polis Perak selepas dipercayai terbabit dengan sindiket penipuan panggilan atau Macau Scam.

“Ketika kejadian, beberapa anggota polis membuat serbuan di rumah lelaki itu yang terletak di tingkat tiga bangunan pangsapuri berkenaan.

“Mereka mengetuk pintu rumah lelaki terbabit namun tiada jawapan,” katanya.

Sumber berkata, beberapa minit kemudian ada jiran berhampiran memaklumkan seorang lelaki terjatuh di tingkat bawah bangunan pangsapuri itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati individu terbabit adalah lelaki yang dicari pihak polis terbabit.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga kediaman. Namun tindakan itu mengundang padah apabila dia disahkan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 6:02am
d