utama

Kacak, berbakat

Oleh Ramlah Zainal

Bukan sekadar bersandarkan paras rupa kacak, bintang kelahiran Singapura, Hisyam Hamid juga berbakat besar dan berpotensi pergi jauh dalam bidang lakonan.

Justeru, tidak hairanlah nama Hisyam terus bertahan dalam bidang seni walaupun ramai bakat baru mewarnai industri seni tanah air ketika ini.

Menurut Hisyam, 33, dia ada strategi tersendiri untuk kekal relevan dalam bidang yang diceburi.

“Antaranya, saya tidak mahu wajah saya terlalu kerap muncul di kaca televisyen bagi mengelakkan penonton bosan.

“Sebab itu, saya tidak ambil tawaran berlakon drama tahun lalu.

“Tahun ini saya kembali fokus pada drama bersiri,” katanya.

Diminta mengulas trend stesen TV mengambil bakat baru yang memiliki ramai pengikut di Instagram sebagai hero dan heroin drama pula, kata Hisyam, ia terpulang kepada pendapat masing-masing.

“Saya pula tidak melihat bakat baru yang memiliki pengikut yang tinggi di Instagram sebagai jaminan untuk drama meraih rating tinggi.

“Apa yang penting jalan cerita, bakat yang dipertaruhkan, komitmen dan disiplin dalam lakonan,” katanya.

Hisyam ditemui pada sidang media drama Do(s)a di sebuah hotel di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada dia teringin mencapat gelaran Datuk seperti yang diterima artis senegara, Datuk Aaron Aziz dan Datuk Adi Putra, Hisyam berkata, perkara itu tidak pernah terlintas di fikirannya.

Kedua-dua pelakon itu dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada Oktober dan Disember tahun lalu.

“Gelaran itu bonus kepada anak seni. Saya masih baru dalam bidang ini dan perjalan masih jauh lagi.

“Mereka layak menerima anugerah tertinggi itu kerana berjaya dalam bidang seni dan aktif dengan kerja belakang tabir serta terbabit dalam program amal,” katanya.

Cabar diri dalami ilmu persilatan

Sering melakonkan karakter romantik komedi, watak Fahad dalam drama Do(s)a sangat mencabar buat Hisyam.

Dalam drama arahan pengarah terbaik Indonesia, Ifa Isfansyah itu, Hisyam bergandingan dengan Ashraf Sinclair, Remy Ishak, Shenty Feliziana, Reuben Elishama dan Datuk M Nasir.

Berkongsi mengenai watak Fahad pula, kata Hisyam, dia perlu mendalami ilmu persilatan.

“Selain bersilat, saya juga belajar menggunakan senjata kerambit untuk menjiwai watak Fahad. Saya mengalami lebam dan calar di tubuh serta tangan ketika melakukan babak aksi.

“Apa yang menarik, penonton akan nampak sisi lain saya sebagai Fahad kerana penggambaran turut dilakukan ditempat kotor dan busuk,” katanya.

Drama lapan episod ini adalah kolaborasi mega di antara produksi Malaysia dan Indonesia.

Ia bakal disiarkan di saluran Astro First saluran 480 bermula 14 Februari ini.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 2:28am
d