utama

Tiada istilah balas dendam

Oleh Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Juara Piala FA, Kedah sama sekali tidak akan turun dengan misi ‘membalas dendam’ apabila bertemu juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu ini.

Justeru, pengendali skuad Lang Merah, Ramon Marcote mengingatkan anak buahnya supaya tidak dibayangi kekalahan pada pentas akhir Piala Malaysia di tangan skuad Harimau Selatan itu musim lalu sebaliknya tampil dengan persembahan lebih baik untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata selain cuba untuk mempertahankan trofi terbabit.

Jelas bekas penyelia metodologi Atletico Madrid itu, aksi kali ini begitu berbeza dengan apa yang sudah diharungi mereka sebelum ini dengan beliau mengakui tiada tekanan yang dirasai anak buahnya menjelang aksi pembuka tirai Liga Super itu.

“Tiada dendam dalam bola sepak dan tiada perlawanan yang sama dengan satu perlawanan yang lain. Saya lebih suka melihat perlawanan itu sebagai aksi pertama liga yang turut memberi bonus iaitu peluang merangkul trofi.

“Apapun, kami tidak akan memberi laluan yang mudah kepada JDT dan kami akan berusaha untuk memberikan yang terbaik bagi melakar keputusan positif iaitu sekurang-kurangnya tidak pulang dengan tangan kosong pada aksi pertama musim ini.

“Walaupun beraksi di laman lawan tetapi saya berpendapat JDT berdepan tekanan yang lebih tinggi memandangkan status mereka yang dilihat sebagai pasukan pilihan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebagai rekod, dua gergasi bola sepak tempatan itu pernah bertemu untuk merebut piala sama musim lalu namun Kedah yang ketika itu diterajui Tan Cheng Hoe berjaya merangkul Piala Sultan Ahmad Shah hasil kemenangan 5-4 menerusi sepakan penalti penentuan apabila perlawanan terikat 1-1 selepas 90 minit.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan pasukan, jurulatih kelahiran Sepanyol itu mengakui beliau boleh menarik nafas lega selepas pemain importnya yang sebelum ini mengalami kecederaan, Sandro da Silva sudah menyertai latihan.

“Dia sudah menyertai latihan penuh sejak seminggu lalu dan prestasinya kian bertambah baik. Berkemungkinan dia dijangka dapat diturunkan untuk aksi bertemu JDT nanti.

“Pemain lain juga turut giat menjalani latihan dan suasana dalam pasukan adalah begitu harmoni. Kami sudah bersedia untuk memulakan musim baru ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 3:45am
d