utama

'Enon' sapu duit KWSP saya RM66,000

Oleh Nur Saliawati Salberi

LELAKI orang kurang upaya (OKU) lembam berputih mata selepas wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah kira-kira RM66,000 didakwanya dikeluarkan rakan sekerjanya.

Anuar Bache, 57, berkata, wang carumannya diterima pada awal 2016 dan dalam tempoh tiga hari kesemua simpanannya lesap.

Bapa kepada seorang anak itu mendakwa lagi, rakan wanitanya yang dikenali sebagai 'Enon' membuat pengeluaran itu beberapa kali malah amaun terbesar dikeluarkan berjumlah RM44,115.99 pada 30 Januari 2016.

"Simpanan habis dalam tempoh tiga hari dan hanya berbaki RM11 dan saya tidak tahu ke mana duit itu.

"Kawan hanya membawa saya ke bank untuk keluarkan duit dan dia memberitahu mahu bantu saya," katanya.

Dia menceritakan kisahnya ketika dilawati Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron di rumahnya dalam Program Ziarah Kasih, di Sungai Udang hari ini.

Adik iparnya, Zubaidah Abd Razak, 52, mendakwa, hanya mengetahui perkara itu selepas beberapa kali bertanyakan mengenai status wang caruman KWSP milik lelaki itu.

"Kami sekeluarga terkejut sebaik dia memberitahu wangnya dikeluarkan oleh rakan bernama Enon.

"Abang ipar turut memberitahu Enon ada membawanya ke bank dan memaklumkan dia mempunyai simpanan RM100 dan memberikan kepadanya," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, kerajaan negeri memandang serius insiden itu dan pihaknya akan menghantar pasukan untuk menyiasat.

"Ia amat menyedihkan apabila ada kumpulan masyarakat yang tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan keatas OKU.

"Kerajaan negeri akan menyiasat dan membawa pihak tidak bertanggungjawab dalam kes ini kemuka pengadilan," katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 7:48pm
d